Jumlah individu menyumbang untuk ibadah korban meningkat

0

ASAJAYA: Jumlah individu yang menyumbang untuk melaksanakan ibadah korban di negeri ini meningkat setiap tahun, kata Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Justeru, katanya, perkembangan baik itu menunjuk-kan tahap ekonomi rakyat semakin meningkat.

“Sumbangan daripada individu bagi menjayakan ibadah korban sangat digalakkan di mana amalan tersebut amat dituntut dalam Islam walaupun ia bukan ibadah wajib bagi mereka yang berkemampuan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Pengagihan Daging Korban Peringkat Daerah Asajaya 2013 di Pejabat Daerah Asajaya di sini, semalam.

Karim yang juga ADUN Asajaya menambah, sumbangan individu untuk melaksanakan ibadah korban juga adalah bermakna di mana ia dapat menyemarak-kan lagi sambutan Hari Raya Aidiladha.

Di samping itu, katanya, ia juga dapat memupuk semangat gotong-royong dalam kalangan umat Islam.

Dalam pada itu, Karim mengingatkan umat Islam khususnya di negeri ini supaya menjaga keharmonian yang telah wujud sejak dulu lagi.

Tambah beliau, pergolakan dan sebagainya yang berlaku di negara lain sehingga tidak dapat meraikan perayaan dalam suasana aman harus dijadikan iktibar oleh ma-syarakat negara ini.

“Umat Islam di negara ini harus bersyukur kerana dapat meraikan perayaan termasuk Hari Raya Korban dalam suasana yang cukup harmoni,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 40 ekor lembu dikorbankan di kawasan DUN Asajaya untuk diagihkan kepada lebih 1,000 orang dari 10 buah kampung yang layak menerimanya.

Majlis turut menyaksikan penyampaian geran projek kecil luar bandar (MRP) Parlimen Kota Samarahan kepada beberapa pertubuhan dan persatuan di DUN Asajaya.

Menyempurnakan pe-nyampaian dana tersebut ialah Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang.

Turut hadir, Residen Bahagian Samarahan Abdul Rahman Sebli Sanusi, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Asajaya Sanuyah Mohammad dan Temenggung Chek Bujang.