Lebih 10,000 Orang Ulu masih tiada kad pengenalan

0

MIRI: Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Baram, Dennis Along mendedahkan lebih 10,000 penduduk di pedalaman Baram masih belum mempunyai kad pengenalan yang sah.

Dennis memberitahu kajian oleh para sukarelawan dan pengkaji bebas di Baram sebelum ini mendedahkan kebanyakan rumah panjang terutama kaum Orang Ulu di Baram masih terdapat penghuninya yang tidak memiliki kad pengenalan.

“Hampir di setiap rumah panjang Orang Ulu, ada penduduknya yang tidak memiliki kad pengenalan. Jumlah ini kalau dikumpul kesemuanya boleh mencecah angka sehingga 10,000 orang atau kemungkinan besar lebih daripada itu,” ujarnya.

Bercakap kepada pemberita di sini semalam, Dennis mengakui kawasan perkampungan Orang Ulu di kawasan Baram dan Belaga adalah paling banyak berdepan dengan isu berkaitan kad pengenalan.

“Tetapi majoriti adalah di Baram, khususnya membabitkan kawasan yang terpencil di kawasan hulu,” tambahnya lagi.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita di sini semalam pada sidang media yang diadakan bagi menyampaikan sumbangan derma daripada PKR dan orang awam kepada Upek Usan iaitu suami mangsa kemalangan ngeri yang meragut nyawa wanita Penan, baru-baru ini.

Menurut Dennis dalam kebanyakan perkara yang menyumbang kepada masalah ini ialah tiadanya kerjasama daripada ketua-ketua kaum atau ketua masyarakat di kawasan setempat.

Katanya, ketua-ketua kaum amat kenal dengan mereka atau anak-anak buahnya yang tidak mempunyai kad pengenalan, bagaimanapun mereka tidak mahu memberi kerjasama.

“Dengan keadaan politik semasa ketika ini, ketua masyarakat turut mempolitikkan keadaan dan penduduk di rumah panjang. Ini bermakna sesiapa yang tidak mendengar kata-kata mereka atau tidak sependapat dengan mereka, maka tidak akan dibantu, termasuk mendapatkan kad pengenalan.

Menurut Dennis, prespektif sebeginilah yang menyebabkan isu mengenai ketiadaan kad pengenalan terus berlaku dan berlarutan di Baram.

Malah, beliau mengakui tidak menyalahkan Jabatan Pendafataran Negara (JPN) berhubung isu berkenaan sebaliknya ketua kaum atau ketua masyarakat yang menjadi ‘dalang’ di sebalik isu berkenaan.

“Isu seperti ketiadaan kad pengenalan tidak seharusnya dipolitik kerana ia membabitkan keperluan dan kewarganegaraan seseorang. Tindakan ketua masyarakat yang tidak membantu anak-anak buahnya kerana dianggap pembangkang atau menentangnya adalah tindakan tidak profesional seorang ketua kaum,” ujarnya.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo yang juga Pengerusi PKR Bahagian Miri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Fong Pau Teck.

Pada majlis sama, Dr Teo yang mewakili penderma menyampaikan sumbangan derma berjumlah RM5,000 kepada Upek dan anak-anaknya.