Saturday, December 4

Negeri Sembilan akan laksana dasar pembesaran kampung

0

JELEBU: Kerajaan Negeri Sembilan akan melaksanakan dasar pembesaran kampung dengan mewujudkan Kampung Tersusun dalam usaha menarik lebih ramai orang tinggal di kampung.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata dasar ini dibuat meman-dangkan kawasan kampung semakin mengecil.

“Sebagai contoh, kalau dahulu arwah datuk kita mempunyai tanah seluas 4.05 hektar tapi dah ‘dipecahkan’ (dibahagikan) kepada anak kemudian cucunya dan adik-beradik, jadi pemilikan tanah ini makin lama makin kecil dan ada juga tanah ini yang telah dijual.

“Apa yang kita nak buat di Negeri Sembilan ialah kita nak pastikan bukan sahaja peluang diberikan kepada anak-anak generasi kedua dan ketiga FELDA tetapi juga di kampung,” katanya kepada pemberita selepas me-rasmikan majlis pengundian lot peserta FELCRA Bhd Kerangai Penagoh, Jelebu di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Bhd Datuk Ramlee Abu Bakar.

Sehubungan itu, Mohamad mengarahkan pentadbir tanah daerah mengenal pasti tanah kerajaan dan kawasan hutan pinggiran kampung yang tidak melibatkan tadahan air untuk dijadikan kawasan Kampung Tersusun.

“Kita tidak beri tanah yang luas tapi kita bagi setengah ekar cukup untuk mereka mendirikan sebuah rumah untuk Kampung Tersusun. Di Kampung Tersusun ini akan dilengkapi infrastruktur dan kemudahan awam.

“Dasar ini kita buat bagi mengurangkan inflasi di dalam Negeri Sembilan dan supaya permintaan rumah ini dapat dikurangkan. Jadi, penumpuan tidak ke bandar sangat untuk membeli rumah,” katanya.

Mengenai pengundian lot peserta FELCRA Bhd Kera-ngai Penagoh, beliau berkata pengundian lot dibuat sebelum pengeluaran hak milik kepada 348 peserta projek FELCRA Kerangai Penagoh dengan keluasan 899.434 hektar.

Kerajaan Negeri Sembilan meluluskan pegangan tanah 2.43 hektar kepada setiap peserta berkenaan. — Bernama