Nilai integriti penting dalam sektor awam

0

TERIMA KASIH: Ronald (kanan) menyampaikan tanda penghargaan kepada Lai selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan dan Hari Integriti Jabatan Pertanian Sarawak (Zon Tengah) di Sibu, semalam.

Warga Jabatan Pertanian harus fahami tanggungjawab ke arah organisasi cemerlang

SIBU: Warga Jabatan Pertanian Sarawak perlu memahami hala tuju perkhidmatan awam dan jabatan dengan memahami lebih jelas tanggungjawab masing-masing dalam menjadikan jabatan sebuah organisasi cemerlang.

Pengarahnya Lai Kui Fong berkata, jabatan mempunyai landasan yang baik kerana lebih fokus dan jelas oleh dasar-dasar pembangunan serta komitmen kepimpinan tertinggi.

“Warga jabatan perlu mengamalkan nilai-nilai bersama yang menjadi tunjang kekuatan organisasi seperti integriti, baik hati dan prihatin, profesionalisme, sikap kesegeraan dan semangat sepunya, semangat berpasukan dan berorientasikan hasil,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perhimpunan Wilayah dan Hari Integriti Jabatan Pertanian Sarawak Zon Tengah (Bahagian Sibu, Sarikei, Kapit dan Mukah) di sebuah hotel di sini, semalam.

Menurut Lai, perhimpunan itu merupakan pendekatan baharu untuk berkomunikasi dengan warga jabatan ke arah liputan lebih menyeluruh dan berkesan.

“Perhimpunan diadakan bagi membolehkan pemimpin tertinggi menyampaikan hala tuju jabatan, meningkatkan semangat berpasukan dan menerapkan nilai bersama perkhidmatan awam negeri.

“Selain itu, ia meningkatkan pemahaman serta komitmen terhadap pencapaian visi dan misi jabatan serta perkhidmatan awam negeri,” katanya.

Turut hadir ialah Pegawai Pertanian Bahagian Sibu, Ronald Ripin.

Ronald dalam ucapan alu-aluannya berkata, majlis itu merupakan acara tahunan yang bertujuan untuk menyedarkan warga jabatan mengenai kepentingan integriti dalam perkhidmatan awam.

“Sebagaimana yang telah ditekankan dalam perkhidmatan awam Sarawak, nilai integriti adalah nilai pertama dalam senarai ‘Common Shared Values’,” jelasnya.

Program yang berlangsung selama sehari itu, ujar Ronald, dipenuhi dengan taklimat dan ceramah yang penting dalam meningkatkan pengetahuan serta kesedaran mengenai integriti dalam perkhidmatan awam.

Seramai kira-kira 270 pegawai Jabatan Pertanian Gred 17 ke atas dari bahagian Sibu, Kapit, Sarikei dan Mukah hadir pada majlis itu.

Antara program yang diadakan ialah sesi taklimat Transformasi Perkhidmatan Awam SCS: ‘10-20 Action Plan’ oleh Ketua Penolong Pengarah, Unit Pemodenan Perkhidmatan dan Kualiti, Jabatan Ketua Menteri, Mohamad Abdul Rahman.

Selain itu, Ketua Penolong Pengarah (Industri Tanaman), Jabatan Pertanian Sarawak, Othman Hamdan menyampaikan taklimat ‘Balanced Scorecard’ dan ceramah motivasi oleh Dr Shafiee Lugom.

Ini diikuti dengan ceramah Integriti dalam Perkhidmatan Awam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ceramah Pengurusan Kewangan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).