Pembonceng motosikal maut, lima lagi cedera

0

KINABATANGAN: Seorang pembonceng motosikal maut setelah terbabit dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan dan dua motosikal di Kilometer 133, Jalan Sandakan Lahad Datu, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa yang maut dikenali Sunarti Hamsa, 24, membonceng motosikal bersama anak perempuannya, Andika, berumur 11 bulan, yang ditunggang suaminya, Andri Piho, 26.

Ketika kejadian, sebuah kenderaan jenis Proton Saga dari arah Lahad Datu bertembung dengan dua motosikal dari arah bertentangan.

Motosikal yang ditunggang Andri, dibonceng oleh Sunarti dan anaknya, manakala sebuah lagi motosikal ditunggang oleh Samsul Bahari, 26, dan dibonceng oleh Hamsa Bonta, 59.

Dalam kejadian itu, kereta yang dipandu Syahrin Mohd Daud, 28, telah masuk ke laluan bertentangan, lalu berlanggar dengan dua motosikal terbabit.

Ekoran kejadian itu, pemandu kereta mengalami cedera luka di muka dan tangan, Andri patah kedua-dua belah kaki, manakala anaknya patah paha kanan dan penunggang sebuah lagi motosikal iaitu Samsul patah jari manis kanan manakala pembonceng, Hamsa putus kaki kanan dan patah kaki.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, DSP Martin Lugu yang mengesahkan kejadian itu berkata semua mangsa yang cedera dalam keadaan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.