Penduduk Kampung Merikan 1 tegas enggan pindah kecuali diberi lot tanah

0

TIDAK BERGANJAK: Penduduk Kampung Merikan ketika hadir di mahkamah semalam sambil membawa kain rentang memohon kerajaan Barisan Nasional membantu menyediakan tapak tanah untuk mereka berpindah.

MIRI: Penduduk Kampung Merikan 1, Lutong bertegas tidak akan berganjak dari tapak rumah sedia ada selagi mereka tidak diberikan lot tanah untuk mendirikan rumah baharu sama ada oleh kerajaan mahupun pemaju.

Menurut Ketua Kampungnya, Lenggu Nait, 60, meskipun keluasan kampung berkenaan hanya lebih satu ekar, namun ia dianggap tanah tumpah darah mereka kerana telah didiami sejak lebih 30 tahun lalu.

“Kami mula mendiami kawasan ini sejak tahun 1980 dan sehingga kini, kami telah tinggal di sini lebih daripada 30 tahun. Justeru, ia umpama tanah tumpah darah kami yang menjadi tempat lahir anak cucu kami,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Miri di sini, pagi semalam.

Katanya, buat masa sekarang terdapat 77 buah keluarga tinggal di kampung berkenaan dengan rumah dibina sangat rapat antara satu sama lain memandangkan kampung berkenaan hanya berkeluasan satu ekar.

Sehubungan itu, Lenggu sekali lagi mengulangi pendirian mereka tidak akan berpindah dari kampung berkenan selagi mereka tidak diberikan tapak rumah yang baharu.

“Kalau ada lot (tanah) kami pindah, kalau tak ada, kami tidak mahu berpindah dan akan kekal di situ,” tegasnya ringkas.

Lenggu merupakan salah seorang daripada senarai 69 orang defenden dalam kes saman yang dikemukakan pihak pemaju, Indusland Sdn Bhd terhadap penduduk Kampung Merikan 1 yang didakwa mengingkari arahan pindah yang dikeluarkan syarikat terbabit sejak Jun 2012.

Kes saman itu telah didengar buat pertama kali di Mahkamah Tinggi di sini semalam di hadapan Hakim Stephen Chung Hian Guan.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 November depan untuk sebutan lanjut kes berkenaan.

Difahamkan, pada 3 Mei 2011, Lenggu pernah mengemukakan permohonan kepada pejabat Jabatan Tanah dan Survei untuk menyukat kawasan berkenaan untuk diiktiraf sebagai sebuah perkampungan.

Namun, permohonannya ditolak dengan alasan dasar kerajaan hanya menyelesaikan masalah setinggan melalui program perumahan mampu milik atau program perumahan lain serupa yang dilaksanakan oleh kerajaan dan swasta.

Sementara itu, Pengerusi SUPP Cawangan Piasau, Datuk Sebastian Ting yang turut berada di mahkamah bagi meninjau kes berkenaan memberitahu bahawa dia akan membawa penduduk Kampung Merikan 1 untuk bertemu syarikat pemaju bagi membincangkan hal berkenaan.

“Saya berharap kedua-dua pihak boleh menyelesaikan kes ini di luar mahkamah. Jadi tak perlulah dipanjangkan ke mahkamah,” katanya sambil memberitahu beliau dan bekas Ahli Parlimen Miri Tan Sri Peter Chin Fah Kui telah memantau kes berkenaan sejak lebih setahun lalu.

Tambahan, katanya, kerajaan mempunyai banyak tanah justeru pasti ada penyelesaian yang lebih baik boleh dibuat selain memanjangkan kes ke mahkamah.

Oleh itu, katanya, masalah seperti ini harus diselesaikan dengan cara yang lebih baik serta harus diberi lebih tumpuan kerana masalah yang sama bukan hanya dihadapi penduduk Kampung Merikan, tetapi juga Kampung Pasir dan Kampung Sealine.