Wednesday, March 22

Remajakan parti tidak bermaksud ketepi veteran

0

TEMU BUAL: Mukhriz (duduk kiri) dan Isa (duduk kanan) bergambar bersama Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV, Datuk Ibrahim Yahya dan Timbalan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab sebelum siaran Ruang Bicara Bernama TV di Kuala Lumpur kelmarin. Siaran langsung ini diacarakan oleh Dahlan Maamor. — Gambar Bernama

UMNO memerlukan keseimbangan dalam kepimpinan untuk pastikan parti tersebut kekal progresif

KUALA LUMPUR: Vete-ran UMNO tidak harus dipinggirkan kerana mereka mempunyai kebolehan dan pengalaman untuk menterjemah sesuatu dasar kepada maklumat yang mudah difahami masyarakat, kata Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Mukhriz yang juga calon Naib Presiden UMNO  pada pemilihan parti itu Sabtu ini, berkata walaupun sudah ada agenda penting untuk mere-majakan parti, itu tidak sama sekali bermaksud golongan veteran harus diketepikan.

“Pengalaman orang lama yang kita nampak jauh melebihi orang muda khususnya dalam soal terjemahkan dasar dan strategi, macam mana nak sampaikan maklumat kepada orang ramai.

“Dalam soal ini, orang muda yang kurang berpengalaman mungkin ada strategi dan idea tapi nak sampaikan kadang-kadang orang tak faham. Di sinilah perlunya untuk kita merujuk kepada golongan berpengalaman,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Ruang Bicara BernamaTV di Wisma Bernama di sini kelmarin.

Turut ditemu bual dalam rancangan itu ialah seorang lagi calon Naib Presiden UMNO Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang juga pengerusi FELDA.

Sependapat dengan Mukh-riz, Mohd Isa menjelaskan bahawa meremajakan parti bukan bermaksud memasti-kan hanya golongan muda yang harus diberi mandat untuk memimpin tetapi lebih kepada memastikan golongan itu mudah diterima masuk dalam UMNO.

Katanya walaupun golo-ngan muda dianggap penting kerana mereka pelapis parti, hakikatnya masih ramai vete-ran yang bukan sahaja setia kepada UMNO malah masih layak mengundi kepimpinan parti itu.

“Bila ramai orang muda, (itu bererti) kita tidak akan ketandusan pelapis…kerana itu, dalam UMNO dari dahulu memang kita tak ketandusan pemimpin. Proses melatih kepimpinan UMNO bermula daripada sayap Pemuda.

“Umur macam saya masih ramai yang mengundi…tapi soal meremajakan UMNO bukan bermaksud kita ketepi-kan yang lama. Meremajakan UMNO ialah meramaikan orang muda sertai parti tanpa sebarang sekatan yang tidak munasabah,” katanya.

Isa berkata memberi pe-luang kepada golongan muda untuk memimpin bukanlah sesuatu yang baharu dalam UMNO kerana beliau sendiri menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan pada usia 33 tahun manakala Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Besar Pahang pada usia 29 tahun.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai faktor beliau patut dipilih sebagai Naib Presiden UMNO, Mukhriz berkata ke-jayaan besar merampas kembali Kedah daripada pimpinan PAS harus dipertimbang oleh perwakilan UMNO.

Menurutnya pengalaman beliau dan UMNO Kedah dalam usaha merampas kembali Kedah adalah sesuatu yang tidak harus diperkecilkan dan dengan jawatan Naib Presiden, beliau percaya formula kejayaan itu dapat dikongsi bersama dengan lebih berkesan.

Mohd Isa pula berpendapat beliau patut dipilih kerana mahu membantu memupuk keseimbangan antara golo-ngan muda dan veteran dalam kepimpinan UMNO untuk memastikan parti lebih bersifat progresif dan berdaya saing.

Bagaimanapun, kedua-dua tokoh itu bersetuju bahawa dalam persaingan merebut tiga slot Naib Presiden, ia harus dilaksanakan secara sihat dan demokratik.

Selain Mukhriz dan Mohd Isa, turut bertanding jawatan itu ialah bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam selain tiga penyandangnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Pengundian bagi kepim-pinan tertinggi UMNO  Pusat dan Bahagian akan dijalankan serentak di 191 Bahagian Sabtu ini dan keputusan dijangka diterima pada hari sama. — Bernama