SEDC tawar pakej hebat cuti sekolah mulai 16 November

0

KUCHING: Sempena dengan musim cuti sekolah yang bakal tiba, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Hotel dan Resort kini kembali dengan pakej promosi cuti sekolah mulai 16 November depan.

Pengurus Besar SEDC Soedirman Aini berkata, Bahagian Tourism & Leisure perbadanan itu menyasarkan permintaan tinggi bagi pakej percutian tersebut yang bertujuan menyediakan peluang percutian kepada keluarga untuk meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak.

“Matlamat kami adalah menyediakan satu alternatif baik bagi keluarga untuk meneroka dan mengimpikan daya tarikan pelancongan tempatan di Kuching dan Pantai Damai semasa cuti panjang melalui pakej yang berpatutan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, pakej cuti sekolah itu boleh didapati di Damai Beach Resort, Hotel Grand Margherita, Hotel Riverside Majestic, Kampung Budaya Sarawak (SCV) dan Damai Golf and Country Club.

Selain itu, Soedirman berkata, terdapat pakej istimewa dua hari satu malam pada kadar bilik serendah RM230 semalam disertakan dengan sarapan pagi untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak yang ditawarkan di Hotel Riverside Majestic dan Hotel Grand Margherita.

“Promosi dua hotel ini turut menawarkan tawaran tambahan lain seperti baucar permainan boling serta tiket wayang, dua tiket ke SCV ataupun baucar hidangan di Restoran Meisan Grand Margherita secara percuma.

“Manakala bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah pula akan berpeluang menikmati hidangan secara percuma apabila minimum dua dewasa membuat pembayaran dalam satu resit,” katanya.

Manakala di Damai Beach Resort, beliau memberitahu para pelanggan boleh menikmati percutian bermalam pada kadar harga bilik serendah RM230 semalam bagi percutian dua hari satu malam di samping berpe-luang menikmati kemudahan rekreasi yang disediakan.

Tidak ketinggalan bagi SCV yang turut menawarkan pakej tawaran istimewa ‘Percutian Saya & Percutian Keluarga’ selama dua hari satu malam penginapan di rumah panjang Bidayuh.

“Ini merupakan pengalaman percutian yang ditawarkan hanya pada harga RM538 untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak, termasuk hidangan makanan untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam.

“Selain itu, terdapat ba-nyak aktiviti menyeronokkan disediakan seperti pelanco-ngan kampung, persembahan kebudayaan serta pengalaman alam semula jadi berjalan ke Gunung Santubong.

“Di bawah pakej ini juga turut diberikan kadar individu sebanyak RM132 setiap seorang dewasa dan RM117 bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah,” tambahnya.

Sementara itu, bagi penggemar sukan golf pula, mereka berpeluang untuk bermain sukan tersebut setiap hari Selasa sepanjang promosi istimewa tersebut berlangsung di Damai Golf & Country Club.

“Ahli-ahli kelab hanya perlu membayar RM40 seorang untuk promosi ‘Pusingan Golf Tanpa Had’ manakala bagi bukan ahli pula hanya perlu membayar RM80 seorang.

“Promosi ini juga termasuk perkhidmatan kereta dan terdapat juga kadar istimewa bagi pertengahan minggu hanya pada harga RM69 bagi bukan ahli kelab termasuk yuran hijau dan kereta setiap hari Rabu dan Jumaat,” katanya.

Orang ramai yang berminat dalam mana-mana pakej cuti sekolah yang ditawarkan boleh melayari laman web hotel-hotel yang mengambil bahagian dalam promosi cuti sekolah tersebut di samping boleh membuat tempahan melalui talian.

Tempoh promosi pakej cuti sekolah tersebut sah bermula 16 November hingga 1 Ja-nuari 2014.

Hadir sama Ketua Tourism & Leisure SEDC Hotel Grand Margherita Edwin Abit, Pengarah Pemasaran Jualan Hotel Riverside Majestic Anthea Yeo, Pengurus Besar Damai Golf & Country Club Zulkifli Othman serta Pengurus Jualan & Pemasaran SCV Zaini Zainuddin.