SRS perlu ditubuh tingkat tahap keselamatan

0

SIBU: Skim Rondaan Sukarela (SRS) melalui Kawasan Rukun Tetangga (KRT) perlu ditubuhkan di setiap kampung dan rumah panjang untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan, kata Pegawai Perpaduan Bahagian Mukah John Aping.

Menurut beliau, selain berperanan mencegah jenayah serta membantu pihak polis meronda pada waktu malam, SRS juga boleh mengurangkan risiko kejadian kebakaran kediaman atau rumah panjang yang dilihat semakin meningkat kebelakangan ini.

“Selain mencegah jenayah, saya fikir SRS juga boleh membantu mengawal pergerakan penduduk daripada melakukan aktiviti yang berkaitan dengan api. Ia juga termasuk dalam skop SRS.

“Ini kerana kita sedia maklum, banyak kejadian kebakaran berpunca daripada aktiviti berkaitan api seperti barbeku di kawasan kampung atau rumah panjang selain kelalaian di bahagian dapur atau lintar pintas,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa menyertai SRS KRT Kampung Judan Hilir, Mukah dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama dua Penolong Pegawai Perpaduan Bahagian Mukah Daniel Yap dan Mazura Mohd Aup, Pengerusi KRT Kampung Judan Hilir Ramlah Bohari dan Pengerusi KRT Kampung Bunut dan Tanjung Jali Gani.

Program SRS itu turut disertai oleh Pengerusi KRT Kampung Pujut, Tanjung Batu, Miri Ishak Baijuri.

John berkata, meskipun SRS bukan seperti anggota bomba sukarela yang terlatih tetapi mereka sedikit sebanyak dapat mengawal atau memantau aktiviti penduduk khususnya yang melakukan aktiviti yang berkaitan api.

“Sekurang-kurangnya, SRS dapat menjadi pengawal dan menjadi mata dalam setiap aktiviti di sesebuah penempatan masyarakat. Dengan adanya SRS, segala aktiviti dipantau dan dikawal khususnya yang melibatkan jenayah dan keselamatan kampung atau rumah panjang,” jelasnya.

John turut menyeru KRT-KRT di bahagian Mukah yang masih belum menubuhkan SRS agar berhubung dengannya di pejabatnya di Mukah.

Beliau memberitahu, rondaan malam SRS sangat penting bagi menjaga keamanan, keselamatan kampung seterusnya memupuk perpaduan dan mengeratkan silaturahim di antara ahli-ahli SRS dan penduduk kampung serta membantu pihak polis dalam usaha mengurangkan jenayah.

“SRS mempunyai peranan yang besar. Diharap masyarakat tidak memandang rendah akan kewujudan SRS,” tegasnya.

Sementara itu, John mengalu- alukan lebih banyak SRS ditubuhkan bagi memastikan semua KRT-KRT Bahagian Mukah mempunyai unit keselamatan mereka masingmasing untuk menjaga keamanan dan keselamatan kampung atau rumah panjang.

“Mereka atau KRT-KRT yang berminat menubuhkan SRS, boleh berhubung dengan saya di Pejabat Perpaduan Bahagian Mukah di Wisma Persekutuan Mukah, Jalan Mukah/Balingian pada waktu pejabat atau menghubungi saya menerusi talian 084-874922,” tambahnya.