Wanita cedera ringan selepas kereta rempuh pintu masuk pusat hiburan

0

Orang ramai melihat keadaan kereta Honda Accord yang merempuh pusat hiburan.

KOTA KINABALU: Seorang wanita berumur 74 tahun cedera ringan selepas kereta Honda Accord miliknya merempuh pintu masuk sebuah pusat hiburan di Lintas Plaza, di sini, awal pagi kelmarin.

Difahamkan bahawa selepas wanita berkenaan meletak kenderaan di parkir untuk bersarapan, kereta itu tiba-tiba bergerak ke hadapan dan merempuh pintu besi pusat hiburan kira-kira jam 9.30 pagi.

Orang awam yang berada di sekitar segera membantu wanita berkenaan dan membawanya ke hospital.

Sementara itu, Ketua Polis Bandararaya, ACP Jauteh Dikun yang mengesahkan kejadian itu berkata pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mencari punca sebenar kejadian.

“Wanita berkenaan telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut,” katanya sambil menambah, tidak ada orang lain yang cedera dalam kejadian itu.