Hospital cari kaedah terbaik keluar peluru di kerongkong

0

IPOH: Kaedah pembedahan terbaik untuk mengeluarkan peluru daripada kerongkong Mohd Amar Mohd Azizi, 10, akan diputuskan pasukanperubatan yang dibentuk Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dalam tempoh tigahari ini.

Pengarah HRPB Dr Raja Lope Ahmad Raja Ariffin berkata pada masa sekarang, pihaknya masih membuat perincian bagaimana pembedahan itu akan dilaksanakan memandangkan ia berhadapan banyak risiko besar.

“Kami juga meminta sokongan perubatan daripada pakar luar (Perak) untuk berada dalam pasukan kami. Kes ini sangat unik dan risikonya juga banyak,”katanya sambil memberitahu terdapat banyak pilihan bagaimana untuk menjalankanpembedahan itu.

Beliau berkata perincian itu juga antara lain untuk menentukan kaedah pembedahan paling selamat dijalankan terhadap Mohd Amar dan pihaknya akan memberi penerangan kepada ibu bapa kanak-kanak berkenaan termasuk risiko yang boleh berlaku.

“Keadaan Mohd Amar bagus, dia boleh makan secara ‘soft diet’, jangan risau. Kes ini unik dan kita sama-sama berdoa semoga ia (pembedahan) akan berjaya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Terdahulu Dr Raja Ahmad Lope mengiringi Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir melawat kanak-kanak itu yang dirawat di wad Unit Rawatan Rapi Pediatrik hospital berkenaan.

Sementara itu Zambry pada sidang akhbar selepas melawat kanak-kanak itu,  berkata kerajaan negeri akan membantu dan menanggung kos perubatan Mohd Amar.

“Kami akan berikan semua bentuk bantuan. Sekarang ini, yang paling penting kita beri segala bentuk sokongan supaya anak ini dapat diselamatkan dan dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Mohd Amar cedera terkena tembakan ketika seorang anggota polis yang sedang mengosongkan pistol automatik jenis P99 Walthernya terlepas tembakan di hadapan sebuah rumah di Kampung Belanja Kiri, Parit pada Isnin lepas.

Pada 15 Okt, Pakar Perunding Neurosurgeri HRPB Dr Cheang Chee Keong berkata Mohd Amar sangat bernasib baik kerana peluru itu tidak mengenai saraf tunjang atau peti suara yang boleh mengakibatkan lumpuh dan bisu.

Beliau berkata imbasan X-ray menunjukkan peluru yang menembusi hidung dan tersekat di kerongkong itu tersangkut pada jarak kurang satu sentimeter daripada saraf tunjang dan agak jauh daripada peti suara. — Bernama