Monday, October 2

Andrew: DAP Sarikei lantik setiausaha Bumiputera untuk mantapkan parti

0

SARIKEI: Dalam usaha memperkukuh perjuangan parti terutamanya di peringkat masyarakat luar bandar dan Bumiputera, Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarikei mengambil langkah melantik seorang setiausaha dari kalangan Bumiputera.

Ahli Parlimen Sarikei, Andrew Wong Ling Biu berkata langkah tersebut bukan sahaja memperkukuh perjuangan parti tetapi untuk mempermudah segala urusan terutama berkaitan dengan perkhidmatan peringkat akar umbi.

“Langkah ini adalah perjuangan kita untuk melebarkan sayap parti terutamanya dalam misi untuk bergerak di kawasan luar bandar.

“Pelantikan setiausaha ini akan membantu kita menguruskan perihal, khususnya berkaitan mengendalikan segala bentuk urusan dengan masyarakat luar bandar sebelum dirujuk kepada peringkat kepimpinan parti,” katanya di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Andrew turut memperkenal setiausaha baharunya iaitu Rinda Juliza Alexander yang berkelulusan Ijazah dari Universiti Northumbia.

Dengan pelantikan tersebut, Parlimen Sarikei mempunyai dua orang setiausaha iaitu Setiausaha 1, Wong Chin King dan Setiausaha 2, Rinda Juliza Alexander.

“Dalam perkara tersebut, bagi Setiausaha 1 kita fokuskan memberikan khidmat kepada komuniti di kawasan bandar, manakala Setiausaha 2 memberi perkhidmatan kepada komuniti luar bandar merangkumi kawasan Sarikei dan Bintangor.

“Namun, mereka akan bergabung dan bekerjasama menguruskan semua perkara terutama melibatkan permasalahan di kalangan akar umbi,” katanya.

Tambah Andrew, langkah itu juga dalam persiapan DAP untuk melebarkan perjuangan parti di kawasan Pakan.

“Sehubungan itu, kita berharap masyarakat dapat memanfaatkan perkhidmatan yang kita sediakan dengan sebaiknya.

“Kedua-dua setiausaha ini akan menjalankan tugas mereka di pejabat DAP Sarikei. Bagi masyarakat yang ingin mendapatkan perkhidmatan setiausaha ini mereka boleh mengunjungi pejabat kita pada waktu pejabat,” jelasnya.

Turut hadir pada sidang media itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dr Wong Hua Seh serta beberapa ahli DAP lain.