Barang antik dan sejarah dipamerkan curi tumpuan

0

BINTULU: Barang-barang antik dan sejarah pembangunan Bintulu yang dipamerkan mencuri tumpuan pengunjung Pameran Sarawak Gemilang 50 Tahun Peringkat Bahagian Bintulu di Dewan Suarah Bintulu bermula semalam hingga 2 November depan.

Bukan sahaja mempamerkan gambar, maklumat, artifak dan bahan-bahan sejarah setempat bahkan keadaan Bintulu pada masa dahulu dan kini termasuk kepimpinan Sarawak.

Bahan-bahan yang dipamerkan berupa motosikal, mesin taip, televisyen lama, telefon dan sebagainya yang memiliki sejarah tersendiri untuk diketahui oleh penduduk.

Gambar-gambar dan peralatan lama juga turut mengimbau sejarah Bintulu pada satu ketika dahulu dengan tujuan berkongsi maklumat kepada penduduk setempat berkenaan detik-detik 50 tahun pembangunan Sarawak terutamanya keadaan Bintulu dahulu dan sekarang.

Apa yang dipamerkan adalah mengenai keadaan pembangunan semasa tempoh 50 tahun merdeka Bintulu dahulu dan sekarang.

Pameran itu bertemakan ‘Sarawak Harmoni, Kemakmuran Dinikmati’ juga menghargai pengorbanan dan sumbangan pemimpin serta generasi terdahulu dalam mencapai kemerdekaan dan yang menerajui negeri ini.

Selain itu, ia untuk memupuk iltizam generasi baharu agar berusaha lebih gigih dan bersepadu untuk memastikan kesinambungan proses pembangunan yang telah dikecapi selama 50 tahun akan dapat diteruskan untuk manfaat generasi akan datang.

Pameran itu akan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 5 petang pada Isnin hingga Jumaat dan 10 pagi hingga 6 petang pada Sabtu dan Ahad.

Konsep pameran pembangunan itu ialah zaman sebelum merdeka dan pengenalan Bintulu. Pameran itu menempatkan empat galeri iaitu untuk Galeri 1 mempamer Bintulu Suatu Ketika Dahulu (untuk tempoh masa tahun 1963 hingga 1980-an).

Galeri 2 mempamerkan Bintulu Bumi Bertuah; Galeri 3A mempamerkan Pembangunan Industri di Bintulu (Kidurong); Galeri 3B -Pembangunan Industri di Bintulu (Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak – SCORE di Taman Perindustrian Samalaju) dan Galeri 4 (Interaktif) iaitu ruang interaktif untuk orang awam khususnya remaja dan kanak-kanak.

Bentuk bahan pameran membabitkan gambar dan keterangannya bermula tahun 1963 hingga kini, peta, model, bahan tinggalan sejarah dan dokumen, fakta (statistik dan teks), petikan, interaktif multimedia, tayangan video, surat khabar, replika, bahan bersejarah, peralatan lama/antik, barangan tradisional, peralatan membuat belacan, bahan warisan dan model berkaitan pembangunan.