Buat kajian persoalan ‘kehilangan pemimpin’ wanita, kata Fatimah

0

KUCHING: Ke mana hilangnya wanita yang berpendidikan tinggi setelah memasuki alam kerjaya?

Timbalan Ketua Pergerakan Wanita PBB Datuk Fatimah Abdullah berkata, itu persoalan yang wajar dikupas apabila situasi kini menunjukkan golongan tersebut tidak ramai menjawat jawatan tinggi dalam sektor awam atau swasta.

“Banyak persoalan yang perlu dijawab ke mana hilang wanita dan ini perlu dikaji,” ujarnya pada sidang media selepas membentangkan usul pendidikan pada Perhimpunan Agung Ke-13 Pergerakan Wanita PBB di sini, semalam.

Fatimah yang juga Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga berkata, situasi ‘loss leader’ (kehilangan pemimpin) itu mungkin berpunca sistem kerjaya yang lebih memihak kepada lelaki.

“Adakah ramai wanita tidak mempunyai kemahiran untuk memimpin?

“Adakah wanita lebih gemar bekerja menyediakan laporan-laporan dan penyelidikan?” katanya.

Justeru, beliau berkata, satu kajian oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan dilakukan pada tahun hadapan.

“Mungkin juga kajian ini nanti mendapati wanita bekerjaya ramai yang berhenti kerja kerana komitmen lain,” katanya.

Sementara itu, Fatimah membentangkan lima usul pada perhimpunan pagi semalam.

Usul pertama ialah saranan untuk kemahiran keibubapaan ditingkatkan agar berupaya melahirkan modal insan yang ada jati diri kukuh.

Kedua, meningkatkan kualiti kurikulum, kemudahan dan perkhidmatan asuhan atau proses pembelajaran bagi memastikan perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak yang disediakan dalam pelbagai institusi benar-benar mampu menyediakan kanak-kanak dari segi emosi, sosial, mental dan kerohanian untuk mengikuti pendidikan formal di peringkat sekolah rendah dengan penuh yakin.

“Kearifan setempat dalam kalangan wanita diberi ruang dan peluang yang seluas-luasnya untuk dikembang dan dibangunkan melalui pendidikan serta latihan vokasional dan teknikal yang relevan bagi membolehkan kemahiran dan kreativiti setempat itu menjadi khazanah warisan budaya di samping menjadi asas penghasilan produk yang mampu menampilkan wajah setempat dengan nilai-nilai sarwajagat,” ujarnya dalam usul ketiga.

Keempat, selari dengan falsafah pendidikan sepanjang hayat, bilangan para profesional dan mahasiswa wanita yang ramai hendaklah diberi sebanyak dan seluas mungkin peluang dalam pelbagai bidang.

Kelima, kemudahan dan khidmat sokongan sosial di tempat kerja hendaklah terus dibangun dan diperbanyakkan, dan skema perkhidmatan awam atau swasta hendaklah terus ditambah baik.