Tuesday, March 28

Fenomena benak cetus keterujaan

0

Pengunjung gembira pengalaman hebat saksikan Pesta Benak Sri Aman

SRI AMAN: “Unik dan amat menakjubkan.” Itulah yang diungkapkan oleh beberapa pengunjung luar yang menyaksikan Pesta Benak Sri Aman 2013 di Tebingan Sungai Batang Lupar, di sini pagi semalam.

Tinjauan di sekitar tapak pesta semalam mendapati rata-rata pengunjung begitu teruja dengan keunikan benak yang berlaku di sungai tersebut.

Seorang pengunjung, Salleh Immun yang berasal dari Kuching menyifatkan benak yang berlaku di Sungai Batang Lupar sebagai fenomena ombak yang sungguh menakjubkan.

“Ini bukan pertama kali saya menyaksikan benak di bandar Sri Aman ini. Malah, sudah banyak kali saya melihatnya. Kebetulan juga saya bekerja di bandar ini sejak beberapa tahun yang lalu,” ujarnya.

Sementara itu, penduduk tempatan Hajijah Oje yang berasal dari Kampung Tengah berkata penganjuran pesta edisi ke-11 pada tahun ini menampilkan kelainan tersendiri.

Menurutnya, dari segi penganjuran aktiviti turut bertambah termasuk dua acara baharu yang diperkenalkan iaitu belon udara panas dan Pertandingan Bina Badan Mr Benak.

“Kita rasa dengan pertambahan dua acara baharu pada penganjuran pesta tahun ini, jumlah pengunjung ke Sri Aman turut meningkat.

“Secara tidak langsung, pendapatan ekonomi masyarakat di sini juga meningkat kerana para pengunjung turut membeli-belah produk keluaran Sri Aman sendiri,” jelasnya.

Oleh yang demikian, katanya, produk pelancongan Pesta Benak harus diteruskan pada masa akan datang sekali gus berharap bandar Sri Aman akan dikenali oleh masyarakat seluruh dunia.

Mohd Faizal Hamid yang berasal dari Johor berkata, fenomena benak di Sungai Batang Lupar mampu mengangkat nama Sri Aman di mata dunia.

“Kehadiran peluncur benak antarabangsa membuktikan status pesta ini sudah meningkat. Penganjuran dan promosi pesta ini perlu diperhebatkan agar lebih ramai pengunjung luar mengetahui keunikan benak dan melihat sendiri budaya masyarakat kita.

“Kita berharap pengunjung luar khasnya antarabangsa akan pulang ke tempat asal masing-masing dan menceritakan tentang keistimewaan bandar Sri Aman,” katanya.

Oleh itu, Mohd Faizal berkata, semua pihak perlu bergabung tenaga dalam memajukan industri pelancongan di Bahagian Sri Aman terutama Pesta Benak sebagai produk ikon pelancongan yang berpotensi tinggi.