Kampung tradisi terbakar lagi

0

MUSNAH: Anggota bomba berusaha mengawal api daripada merebak dalam kebakaran yang memusnahkan enam buah rumah di Kampung Pemukat, Limbang semalam.

LIMBANG: “Saya tidak tahu apa yang akan berlaku jika tidak sempat meluru keluar menyelamatkan diri,” kata seorang mangsa kebakaran di Kampung Pemukat di sini, petang semalam.

Mangsa Awang Besar Abdul, 24, merupakan antara 44 keluarga yang tinggal sehelai sepinggang selepas api merebak pantas dan memusnahkan enam buah rumah kayu dalam kejadian pada jam 2.30 petang semalam yang hampir melenyapkan kampung tradisi tersebut.

Awang Besar yang berseorangan di rumah berkata, beliau tidak sempat menjamah makanan yang dimasaknya sebaik melihat kepulan asap dari bahagian luar rumah.

“Ketika kejadian, saya baharu selesai memasak dan berehat di ruang tamu.

“Kejadian berlaku amat pantas dan apabila melihat kepulan asap, saya bergegas keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya sambil menambah, ahli keluarganya yang lain tiada di rumah kerana berniaga buah-buahan di bandar Limbang.

Awang Besar yang masih terkejut dengan kejadian itu berkata, semua dokumen dan barangan berharga tidak sempat diselamatkan kerana kejadian berlaku amat pantas.

Seorang lagi mangsa yang juga pesara kerajaan, Arshad Matnor, 67, menjelaskan beliau dan ahli keluarganya tiada di rumah ketika kebakaran berlaku.

Beliau yang mendiami rumah berkenaan sejak lahir lagi tidak pasti dari mana api mula merebak sehingga meranapkan kediaman mereka.

Selain Arshad, keluarga mangsa yang terlibat ialah Subuh Kahar, Hasnah Matdaud, Norsafina Abdullah, Sahri Matdaud dan Linong.

Sementara itu, Ketua Bomba Zon Limbang Anuar Shazat Merdzuki menjelaskan seramai 15 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 2.32 petang.

“Dua jentera bomba dan tiga kenderaan lain tiba di lokasi kebakaran kira-kira tiga minit kemudian.

“Api berjaya dikawal pada jam 2.52 petang hasil ketangkasan 15 anggota bomba dengan bantuan 15 anggota bomba sukarela Kampung Seberang Kedai yang membantu memadam kebakaran menggunakan bot,” katanya sambil menambah, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Menurutnya, selain keadaan angin yang agak kencang, anggota bomba tidak berdepan masalah ketika operasi memadam kebakaran dijalankan.

“Kebakaran ini merupakan kali ketiga yang berlaku di Jalan Buangsiul di sini pada tahun ini selepas kebakaran di kampung sama pada Februari lalu dan Kampung Limpaong pertengahan tahun ini,” jelasnya sambil menambah ia merupakan kebakaran ketiga menimpa Kampung Pemukat yang pernah mengalami kes kebakaran lebih 10 tahun lalu.

Turut hadir Ketua Balai Bomba Limbang, Awang Mohamad Farbu Abdul Hamid.

Seorang saksi berkata, kebakaran semalam hampir memusnahkan keseluruhan kampung tradisi yang didiami sejak zaman-berzaman.

“Sudah tiba masanya penduduk di kampung tradisi itu berpindah ke kampung yang lebih selamat bagi mengelak berlakunya kebakaran kali keempat dan seterusnya.

“Kita khuatir kedudukan rumah yang terlalu rapat akan mengundang risiko kepada mereka sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini,” jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail ketika mengulas mengenai kebakaran itu mahu semua mangsa bersabar dengan musibah dan ujian daripada Tuhan.

“Kita bersimpati dengan mangsa kebakaran dan kita mahu mereka bersabar dengan musibah yang berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Dr Rahman berkata, pihaknya akan mencari jalan untuk membantu mengurangkan bebanan mangsa melalui agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.