Kemenangan mandat untuk teruskan perjuangan: Iskandar

0

KUCHING: Kemenangan calon yang bertanding untuk Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merupakan pemberian mandat dan amanah oleh perwakilan untuk meneruskan kesinambungan perjuangan sayap Pemuda dan parti.

Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Satok Iskandar Sharkawi berkata, walaupun perebutan agak sengit, namun pemilihan dijalankan dalam suasana dan semangat setia kawan dan ia berterusan sehingga selepas keputusan diumumkan.

“Saya berharap untuk menterjemahkan mandat dan amanah yang diberikan kepada usaha yang berbentuk produk atau hasil yang akan memberi manfaat kepada masyarakat secara amnya dan parti secara khususnya,” ujar Iskandar ketika dihubungi semalam.

Pada sesi pemilihan untuk MKT Pergerakan Pemuda (Bumiputera) kelmarin, Iskandar memperolehi sokongan paling besar dengan memperolehi 200 undi daripada 240 perwakilan.

Selain beliau, tujuh calon lain yang berjaya meraih sokongan untuk MKT ialah Sufian Mohat, Yusuf Buji, Merdeni Mas, Abdul Ghani Sulhi, Mohamed Ibrahim Husli, Raymund Joseph Tanin dan Othman Mat.

Di samping memegang jawatan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda cawangan, Iskandar juga merupakan Naib Pengerusi PBB Cawangan Satok.

Beliau yang mempunyai latar belakang sebagai usahawan dan jurutera awam sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Ranting Kampung No.4 dan Bendahari Pergerakan Pemuda cawangan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat berjaya memenangi jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda (Bumiputera) setelah mengetepikan tiga pencabar lain dengan memperolehi 170 undi.

Iskandar turut memberitahu, kemenangannya juga menyuntik semangat beliau serta rakan-rakan untuk menambah baik mana-mana program serta usaha-usaha yang telah dan akan dilaksanakan oleh parti dan kerajaan.

“Secara peribadi, pemilihan saya adalah atas sokongan semua perwakilan, para pemimpin parti, rakan-rakan serta ahli keluarga.

“Sokongan yang saya perolehi semasa pemilihan MKT Pergerakan Pemuda PBB (Bumiputera) merupakan pemberian mandat dan kepercayaan oleh perwakilan untuk meneruskan kesinambungan perjuangan sayap Pemuda dan parti,” jelasnya.