Pemain tempatan harus berani

0

PEMENANG: Patrick (tengah) bersama (dari kanan) Van Rijthoven, Hannestad, (dua kiri) Kim dan Momkoonthod di Kuching semalam.

KUCHING: Pemain tenis tempatan harus mengubah mentaliti dan berani mencabar kemampuan diri jika berhasrat untuk pergi dengan lebih jauh dalam sukan kompetitif tersebut.

Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA), Datuk Patrick Liew melihat kebanyakan pemain tempatan baik di Sarawak mahupun di Semenanjung Malaysia masih terlalu hormat dengan keupayaan pemain dari negaranegara lain.

Ini menyebabkan ramai pemain tempatan enggan menyertai kejohanan bertaraf antarabangsa yang diadakan di sini kerana jurang kemahiran yang dirasakan terlalu tinggi.

“Pemain kita perlu mengubah sikap dan mentaliti jika bercita-cita untuk menjadi pemain tenis profesional yang berjaya,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang acara beregu Kejohanan Tenis Remaja (Gred 3) Piala Ketua Menteri Sarawak ke-22 (II) ITF semalam.

Katanya, paling penting setiap pemain perlu yakin dengan kemampuan diri dan berani menyahut cabaran apabila bersaing pada kejohanan di peringkat tinggi seperti ini.

Menurut Patrick, tahap profesionalisme pemain tempatan masih terlalu jauh dan beliau melihat penyertaan mereka dalam kejohanan sebagai mengisi ruang sosial masingmasing.

“Pemain harus mengambil peluang sedia ada menambah pengalaman selain mempertajam kemahiran mereka.

“SLTA akan terus berusaha mengasah kemahiran pemain tempatan dan saya harap mereka yang gagal pada kejohanan ini akan terus berusaha memperbaiki prestasi masing- masing,” katanya sambil menambah pihaknya akan membuat ‘post mortem’ bagi mengenal pasti punca kegagalan beberapa pemain.

Sementara itu, pasangan Hannestad Benjamin-Van Rijthoven Tim dan Kim Dabin- Momkoonthod Tamachan dinobatkan juara acara beregu lelaki dan wanita Kejohanan Tenis Remaja (Gred 3) Piala Ketua Menteri Sarawak ke-22 (II) ITF semalam.

Kedua-dua beregu tersenyum gembira apabila mendapat kemenangan percuma setelah lawan masing-masing menarik diri.

Hannestad (Denmark)-Van Rijthoven (Belanda) sepatutnya menentang Lin Wei-De dan Yang Shao-Chi dari Taiwan pada perlawanan akhir semalam.

Manakala Kim (Korea Selatan)- Momkoonthod (Thailand) dijadual menentang gandingan Kobayashi Miki (Jepun) dan Shao Yijia (China).

Ia kejayaan yang cukup manis bagi Van Rijthoven dan Kim kerana kedua-dua pemain itu turut melangkah ke perlawanan akhir acara perseorangan lelaki dan wanita yang diadakan hari ini.

Van Rijthoven sebelumnya mengejutkan pilihan pertama dari Taiwan Yang Shao-Chin dengan 6-3, 6-2.

Menantinya di perlawanan akhir ialah seorang lagi wakil Taiwan Lo Chien Hsun yang menewaskan Thomson Bjorn (Ireland) dengan 6-1, 6-4.

“Saya akan cuba memberikan yang terbaik pada final hari ini untuk membawa pulang dua kejuaraan,” jelasnya yakin.

Sementara itu, pertemuan Kim dan pilihan kedua dari China Shao Yijia bakal menjanjikan saingan menarik dalam memburu kejuaraan sulung.

Kim sebelumnya menundukkan Arina Folts (Uzbekistan) 6-2, 6-2 manakala Shao mengenepikan Tatachar Venugopal Dhruti dari India dengan 6-4, 6-0.