Pembangunan untuk masa depan

0

PAMPASAN: Para penerima pampasan Projek Pembangunan Darul Hana merakamkan gambar bersama Awang Tengah (duduk enam kanan) serta yang lain selepas menerima cek masing-masing di Wisma Sumber Alam, Kuching semalam. — Gambar Jeffery Mostapa

KUCHING: Kerajaan negeri semalam membayar sejumlah RM79.53 juta pampasan kepada 272 pemilik tanah bagi pengambilan balik tanah untuk Projek Pembangunan Darul Hana, Kuching.

Cek bayaran pampasan disampaikan oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Auditorium PUSAKA, Wisma Sumber Alam di sini.

Dalam ucapannya, Awang Tengah berkata, kerajaan terpaksa mengambil balik tanah-tanah ini bagi memberi laluan kepada pelaksanaan projek pembangunan demi kepentingan awam.

“Saya tahu tidak mudah untuk anda pemilik tanah melepaskan tanah ini kepada kerajaan apatah lagi melihat kepada kedudukan tanah ini yang strategik kerana berdekatan dengan pusat bandar.

“Namun dalam kes ini, saya bersyukur kerana penduduk yang terlibat telah memberikan kerjasama dalam proses pengambilan balik tanah ini demi kepentingan awam dan masa depan generasi akan datang,” katanya.

Tambah Awang Tengah, pengambilan balik tanah ini amat penting bagi Projek Pembangunan Darul Hana melihat keadaan 12 buah kampung di kawasan Seberang Hilir yang tidak begitu terancang bermula dari Kampung Boyan hingga Kampung Bintawa Hilir.

“Matlamat kita untuk melaksanakan Projek Darul Hana ini adalah untuk kita meningkatkan tahap kualiti hidup, keselamatan dan taraf kesihatan penduduk di 12 buah kampung di Seberang Hilir.

“Bagi mencapai matlamat tersebut, PELITA sebagai agensi pelaksana telah melantik COX Architecture Pte Ltd dari Australia sebagai perunding untuk merancang pembangunan Darul Hana,” tambahnya.

Sebagai permulaan, pembangunan Darul Hana telah mengorak langkah dengan pembangunan sebuah masjid yang mampu menampung sekitar 2,300 orang jemaah.

Kawasan pembinaan masjid telah diluaskan dan sekarang dalam peringkat pemendapan tanah sebelum mendirikan bangunan masjid yang dijangka akan dibina pada awal tahun depan.

Bayaran pampasan yang disampaikan semalam melibatkan sebanyak 166 lot dengan 272 orang pemilik tanah membabitkan keluasan 94.72 hektar tanah.

Dialog bersama ketua masyarakat dan pemilik tanah diadakan pada 2 April lepas di Kompleks Islam Sarawak dan 17 Mei di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak.

Turut hadir pada majlis semalam ialah Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Naroden Majais, Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi, ADUN Demak Laut Dr Hazland Hipni, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Datu Sajeli Kipli serta Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Kuching Taib Belal.