Pemuda PBB mahu lebih ramai guru anak watan: Fadillah

0

KUCHING: Perwakilan Pergerakan Pemuda PBB semalam mahu lebih ramai orang Sarawak dilantik menjadi guru bertugas di negeri ini berbanding mengambil guru dari Semenanjung Malaysia.

Ketua Pemuda PBB Datuk Fadillah Yusof berkata.  para perwakilan mengatakan ada di kalangan guru dari semenanjung memohon untuk dipindahkan, sekali gus menyebabkan kekosongan jawatan.

Menurutnya, apabila berlaku kekurangan guru terutamanya di kawasan pedalaman, ia akan menyebabkan pencapaian akademik pelajar kurang memberangsangkan.

Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya berkata, perwakilan turut risau dengan masalah guru yang ditugaskan mengajar bukan bidang mereka.

“Jika situasi ini berlaku, ia akan menjejaskan usaha kita untuk merapatkan jurang pencapaian akademik antara pelajar luar bandar dan bandar,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Ke-13 Pergerakan Pemuda PBB di sini, semalam.

Selain isu pendidikan, katanya, mesyuarat semalam turut membincangkan hal ekonomi yang menyentuh tentang keperluan bagi kerajaan menyediakan peluang lebih luas kepada usahawan Bumiputera di luar bandar.

“Bantuan dan sokongan itu boleh disalurkan dalam bentuk dana dan penyediaan latihan dan kemudahan pemberian permit atau lesen perniagaan,” ujarnya.

Mengenai usul politik dan pembangunan, katanya, para perwakilan menggesa kerajaan agar mempercepatkan proses pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.

Fadillah ketika mengulas isu berkenaan berkata, kerajaan memerlukan RM22 bilion untuk tujuan tersebut secara berperingkat- peringkat hingga tahun 2025.

Di samping itu, Pergerakan Pemuda juga disaran agar mengadakan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan sebagai persiapan pilihan raya yang akan datang.