SEDC harus lebih sistematik bantu peniaga Bumiputera

0

MIRI: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sarawak (SEDC) diminta mengambil pendekatan lebih sistematik dengan segera untuk membantu para peniaga khususnya Bumiputera yang berniaga di Pusat Komersil Centre Point Miri.

Pengerusi Penyewa Kedai SEDC Miri, Kaunselor Razak Joni berkata tindakan melulu untuk merobohkan bangunan berkenaan bukanlah jawapan dan penyelesaian yang betul-betul bernas.

“Harus fikir bahawa apa-apa tindakan hendaklah memberikan hasil ‘menang-menang’ terhadap kedua-dua pihak, sama ada terhadap peniaga Bumiputera mahupun pihak SEDC sendiri,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, pihak SEDC sepatutnya lebih memahami keadaan yang dihadapi terutamanya bagi golongan peniaga Bumiputera.

Tindakan berdegil beberapa pihak seperti beliau sendiri yang enggan ‘mengangkat kaki’ dari bangunan dimaksudkan bukanlah tanda protes kepada pembangunan.

“Kita (segelintir peniaga) di sini bukanlah menolak pembangunan, tetapi buatlah perancangan yang terbaik untuk kami,” ujarnya.

Razak yang juga Setiausaha Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Miri memberitahu bahawa setahu beliau, pelan bangunan baharu belum diluluskan tetapi mengapakah bangunan lama berkenaan hendak dirobohkan segera mungkin.

Malah, katanya, beberapa tindakan dilakukan pihak berkenaan didapati menghalang pelanggan daripada melintasi kawasan itu.

“Bukan itu sahaja, terdapat beberapa kes kecurian turut dilaporkan di kawasan itu kerana keadaan terlalu sunyi terutamanya menjelang waktu malam.

“Sebelum ini, para peniaga di kawasan itu merintih tentang nasib dan masa depan perniagaan mereka akibat bangunan SEDC di kawasan tersebut mahu dirobohkan,” katanya.