Sunday, October 20

Sibu tuan rumah Anugerah Sukan Negeri Sarawak

0

KUCHING: Buat julung kalinya, Sibu dipilih sebagai tuan rumah Anugerah Sukan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) 2011-2012 yang akan diadakan pada 23 November depan.

Pegawai Media MSNS, Sukiman Sela memberitahu ini adalah kali pertama anugerah berprestij tersebut diadakan di luar Kuching sejak 42 tahun lalu sebagai memberi peluang kepada bandar lain untuk menjadi tuan rumah.

“Sibu dan Miri adalah kuasa dalam beberapa acara sukan dan mereka berhak diberi peluang untuk menjadi tuan rumah anugerah ini.

“Tambahan lagi, keduadua bandar tersebut turut menjadi venue beberapa acara sukan pada Sukan Malaysia (SUMKA) 2016 nanti,” katanya di sini semalam.

Anugerah dwitahunan itu bertujuan menghargai sumbangan para atlet, jurulatih, persatuan sukan dan media terhadap pencapaian dan pembangunan sukan di Sarawak.

Menurut Sukiman, Miri akan menjadi tuan rumah seterusnya selepas Sibu nanti.

Anugerah Sukan MSNS mula diadakan pada 1971 sehingga 1994 sebelum diadakan setiap dua tahun sejak 1995.

“Kita menerima penyertaan yang cukup memberangsangkan pada edisi kali ini dengan seramai 45 dari 71 calon telah disenarai tapis,” katanya.

Anugerah bagi atlet sukan dipilih berdasarkan pencapaian mereka pada Sukan Olimpik, Komanwel, Asia, Asia Tenggara, Kejohanan Dunia dan SUKMA.

Antara kategori yang dipertandingkan adalah Atlet Lelaki dan Wanita Terbaik, Atlet Lelaki dan Wanita Harapan, Atlet Lelaki dan Wanita Paralimpik, Jurulatih Terbaik, Jurulatih Paralimpik Terbaik, Anugerah Kepimpinan Sukan, Pasukan Lelaki dan Wanita Terbaik, Penulis Sukan Terbaik (Bahasa Melayu dan Inggeris) dan Jurugambar Sukan Terbaik.

Turut menjadi rebutan adalah Anugerah Khas Sukan dan Kepimpinan Sukan (Tokoh Sukan).

Atlet Wanita Terbaik 2009- 2010 Pandelela Rinong Pamg turut dicalonkan pada edisi kali ini.