Suasana kekeluargaan terserlah

0

Pemuda PBB matang bagi memastikan matlamat perjuangan dicapai

KUCHING: Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Datuk Fadillah Yusof berkata proses pemilihan pergerakan itu dijalankan dalam suasana kekeluargaan.

Menurut Menteri Kerja Raya itu, perpaduan dalam parti wajar dipertahan malah diperkukuhkan agar dapat memberi tumpuan terhadap perjuangan parti.

“Jangan kita ada puak dan pasukan lain kerana kita wujud sebagai satu parti yang bergerak seiring. Itu perjuangan kita bersama.

“Penting bagi kita bergerak dalam satu pasukan untuk memastikan matlamat perjuangan dapat dicapai,” katanya pada sidang media Perhimpunan Agung ke-13 Pergerakan Pemuda PBB di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau memberitahu minat di kalangan perwakilan Pergerakan Pemuda untuk bertanding semakin meningkat dan ia menunjukkan amalan demokrasi dalam PBB begitu subur.

“Kematangan di kalangan ahli kita dan kepimpinan kita di peringkat cawangan dalam mengekalkan persaudaraan dan muhibah di antara kita semasa pemilihan secara keluarga ini berjalan dengan baik sekali,” katanya.

Proses pemilihan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam kelmarin yang menyaksikan pertembungan empat penjuru bagi kerusi Naib Ketua Pergerakan Pemuda (Bumiputera) telah dimenangi Ketua PBB Cawangan Lambir Ripin Lamat selepas meraih undi terbesar.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir berjaya meraih undi sebanyak 170 menewaskan calon lain, Abd Aziz Adenan (48 undi), Halmi Morsili (20) dan Haidel Heli (7).

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Konvensyen PBB Ke-13 Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar.

Manakala dua lagi kerusi jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda PBB (Pesaka) disandang oleh Bell Bernard Agan dan Stanley Sila yang menang tanpa bertanding.

“Saya memuji komitmen semua pihak kerana proses pemilihan kesemua jawatankuasa yang ditandingi hari ini (kelmarin) berjalan dengan lancar,” kata Asfia sebelum membuat pengumuman.

Sementara itu, lapan kerusi bagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Pemuda (Bumiputera) yang ditandingi seramai 16 calon pula dimenangi Iskandar Sharkawi (200 undi), Sufian Mohat (198), Yusuf Buji (192), Merdehi Mas (188), Abdul Ghani Sulhi (184), Mohamed Ibrahim (182), Raymund Joseph Tanin (178) dan Othman Mat 170 undi.

Lima kerusi Ahli Majlis Tertinggi Pemuda (Pesaka) yang menyaksikan sembilan calon bertanding pula dimenangi Alvin Runggah Jimbun (221 undi), Allan Siden Gramong (219), Stephen Augustine Lateng (204), Imong Gani (194) dan Warren Sambau (189).

Sementara itu, Ripin ketika ditemui berkata, beliau akan memikul tanggungjawab yang telah diberikan itu dengan sebaik-baiknya.

“Kami di Pergerakan Pemuda mengucapkan berbanyak terima kasih kepada perwakilan yang telah memilih kami,” katanya.