Rumah kayu tidak berpenghuni musnah dalam kebakaran

0

TEKUN: Dua anggota bomba memadam saki-baki api yang masih termasuk menyiasat tempat kejadian di sebuah rumah kosong yang musnah dalam kebakaran malam Jumaat lalu.

BINTULU: Sebuah rumah kayu berdekatan sebuah kilang papan di Sungai Nyigu berdekatan Kampung Baru yang tidak berpenghuni musnah dalam kebakaran pada awal malam Jumaat lalu.

Ketua Balai Bomba Zon Bintulu Di-Hata Gobel berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 7.35 malam dan bergegas bersama 12 anggota dengan sebuah jentera bomba dan sebuah kenderaan utiliti ke tempat kejadian yang jauhnya lima kilometer dari balai.

“Api memusnahkan rumah setingkat tiga bilik itu yang merupakan rumah kosong dan dapat dikawal pada jam 7.50 malam, seterus dapat dipadamkan sepenuhnya jam 8.20 malam,” katanya.

Operasi memadam kebakaran itu diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Ngo Avan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya yang turut bergegas ke tempat kejadian memantau operasi tersebut.