Kejohanan Golf Cabaran Dayang 2013 mampu mempromosikan sukan golf

0

PEMENANG: James (enam kanan) bersama pemenang Kejohanan Golf Cabaran Dayang 2013 di Miri malam kelmarin.

MIRI: Kejohanan Golf Cabaran Dayang 2013 dilihat mampu mempromosikan sukan golf di kalangan penduduk setempat selain mempromosikan gaya hidup yang sihat.

Timbalan Pengarah Eksekutif Dayang Interprise Holding Berhad, James Ling berkata pihaknya menganjurkan kejohanan terbabit demi merapatkan hubungan di kalangan pemain.

“Tahun ini adalah kali keempat kita menganjurkan kejohanan ini dan ia telah mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan pemain tempatan dan luar Miri,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Kepada Pemenang Kejohanan Golf Cabaran Dayang 2013 di sini malam kelmarin.

James memberitahu, kejohanan terbabit telah disertai oleh kira-kira 350 pemain dari Limbang, Lawas, Kuala Lumpur, Kuching, Bintulu dan Indonesia.

Tambah James, kejohanan kali ini agak berlainan kerana pemain telah menunjukkan peningkatan yang ketara dari segi prestasi dan ia satu perkara yang harus dibanggakan.

“Matlamat kita adalah mempromosikan gaya hidup sihat selain mengeratkan hubungan baik di kalangan kakitangan Dayang Enterprise dan pelanggan dari dalam dan luar Miri.

Penganjuran kejohanan ini telah mencapai matlamatnya dan kita berharap akan lebih ramai pemain akan turut serta dalam kejohanan sama pada edisi akan datang,” katanya.

Hadir sama Residen Bahagian Miri, Antinio Kahti Galis, Pengerusi Penganjur, Solomon Koh, Pengerusi SUPP Piasau, Datuk Sebastian Ting dan tetamu lain.

James menambah, sokongan padu daripada penaja dan kakitangan Dayang Enterprise Holding Berhad sendiri menyumbang dalam membentuk hubungan kerjasama dua hala.

“Ini adalah satu tangggungjawab sosial korporat syarikat dengan kerjasama pihak penaja yang telah bersatu hati untuk menjayakan kejohanan ini buat kali keempat.

“Saya percaya hubungan ini akan lebih akrab dari semasa ke semasa menerusi aktiviti sukan seperti penganjuran kejohanan golf seperti ini pada masa akan datang,” katanya.