Penyokong jangan keliru

0

ABDULLAH

FAS tidak memiliki akaun ‘Twitter’ dan ‘Facebook’ selain laman web rasmi

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) memaklumkan kepada para peminatnya dan penyokong setia pasukan Ngap Sayot bahawa mereka tidak memiliki akaun sosial ‘Twitter’ dan ‘Facebook’.

Menurut Setiausaha Agung FAS, Abdullah Julaihi pihaknya cuma memiliki laman sesawang rasmi WWW.SARAWAKFOOTBALL.COM bagi para peminatnya mengetahui isu-isu semasa mengenai pasukan Sarawak.

“Kami (FAS) ingin mengingatkan kepada orang ramai bahawa apa-apa maklumat yang ingin disampaikan oleh pihak pengurusan FAS secara rasmi adalah melalui laman sesawang tersebut atau melalui siaran media di akhbarakhbar tempatan, nasional atau radio sahaja.

“Selain itu, tidak ada saluran lain diguna pakai oleh persatuan ini untuk menyampai maklumat atau makluman kepada para penyokong dan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini semalam.

Menurut Abdullah, kenyataan itu dikeluarkan adalah bagi mengelak sebarang salah faham orang ramai terutamanya penyokong dan peminat setia pasukan Sarawak kerana terdapat banyak akaun Twitter/Facebook atau manamana media sosial lain menggunakan nama serupa atau seakan-akan sama dengan persatuan (FAS) bagi mengelirukan orang ramai.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Sarawak (SFFC) Peter Moni meminta para penyokong dan peminat setia pasukan Ngap Sayot datang membanjiri Stadium Negeri Kuching pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia, Sarawak menentang Pahang Sabtu ini (26 Oktober).

Menurut Peter, sokongan padu penyokong dan peminat setia pasukan Sarawak amat penting untuk melakarkan sejarah kegemilangan bola sepak tempatan.

“Walaupun pa suka n Sarawak ketinggalan defisit jaringan setelah tewas (3-1) di tempat lawan pada Sabtu lalu, namun harapan penyokong dan peminat Sarawak untuk melihat kejayaan skuad Ngap Sayot musim ini amatlah tinggi.

“Saya percaya peminat setia dan penyokong pasukan Sarawak akan memberikan sokongan padu dan moral tinggi untuk mencipta kemenangan mutlak Sabtu ini,” katanya.

Sarawak memerlukan dua jaringan berharga untuk layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini sekali gus menyingkirkan Pahang.

Dalam pada itu, Ketua jurulatih Sarawak Robert Alberts juga menyatakan keyakinan bahawa anak-anak buahnya mampu melakukan sesuatu yang terbaik beraksi di laman sendiri.

“Saya yakin semua pemain akan beraksi cemerlang dan mampu melakarkan kejayaan manis untuk layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2013,” katanya.