Sarawak tidak pernah dihampakan k’jaan pusat

0

AMANAT: Taib berucap di hadapan kira-kira 5,000 perwakilan dan pemerhati Perhimpunan Agung PBB Ke-13 di BCCK, semalam. — Gambar Tan Song Wei

Sentiasa beri peruntukan meskipun permintaan negeri ini antara yang tertinggi berbanding negeri lain

KUCHING: Sarawak tidak pernah dihampakan oleh kerajaan pusat dari segi agihan peruntukan meskipun permintaan daripada negeri ini merupakan antara yang tertinggi berbanding negeri- negeri lain.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata kerajaan pusat sentiasa memberi perhatian yang secukupkan kepada Sarawak mengikut keperluan dan keadaan sebenarnya dan bukan permintaan.

“Bermula daripada Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman hingga Perdana Menteri sekarang Datuk Seri Najib Tun Razak, kita tidak pernah dihampakan dalam cara mereka memberi perhatian kepada keperluan kita.

“Pemimpin-pemimpin kita mempunyai kebijaksanaan dalam memberi bantuan meskipun bantuan yang diberi kan berulang daripada satu rancangan pembangunan kepada satu rancangan pembangunan,” katanya.

Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung PBB Ke-13 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.

Perhimpunan tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pusat.

Tambah Taib, menerusi lawatan Perdana Menteri (Najib) di lebih daripada 40 kawasan di negeri ini dengan kebanyakannya di luar bandar, beliau pastinya mengetahui keadaan sebenar di negeri ini dan mengapa Sarawak perlu diberi perhatian dan peruntukan khas.

Dengan penduduk hanya seramai 2.5 juta iaitu 10 peratus daripada penduduk Malaysia, keadaan ini tentu sekali membawa kepada perbezaan yang banyak dalam cara Sarawak dibangunkan.

Selepas 50 tahun dengan bantuan kerajaan pusat, 26,000 kilometer (km) jalan kecil dan besar telah dapat menghubungkan kira-kira 5,000 kampung dan rumah panjang yang berselerak di seluruh kawasan.

“Jalan, bekalan air dan elektrik akan terus menjadi program asas kepada BN dan PBB untuk memberi keadaan yang sama rata antara penduduk di kawasan bandar dan luar bandar.

“Orang di bandar mempunyai masalah lain yang lebih sofistikated manakala rakyat di luar bandar lebih tertumpu kepada aspek pembangunan.

“Setiap satu ringgit yang dibelanjakan oleh kerajaan pusat untuk Sarawak kita akan membelanjakan satu ringgit lagi daripada hasil Sarawak untuk mencapai apa yang kita usahakan,” tambahnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Taib mengalu-alukan kedatangan semua perwakilan dan tetamu-tetamu yang lain ke perhimpunan berkenaan.

Kedatangan semua perwakilan dan rakan-rakan parti yang lain merupakan satu bentuk perjumpaan untuk memperteguhkan lagi perpaduan yang telah dibina oleh Sarawak sejak sebelum merdeka lagi.

Perhimpunan katanya, bertambah bermakna dengan kehadiran Datuk Seri Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor yang akan menjadi penyuntik kepada PBB untuk terus berjuang supaya dapat memenuhi aspirasi rakyat.

“Selepas mengikuti kepimpinan BN kita mengetahui bahawa satu perkara yang amat penting bagi memajukan dan menjayakan perjuangan politik kita ialah sifat kesederhanaan yang menjadi asas falsafah Perdana Menteri sendiri.

“Kita setuju dengan konsep ini dan ia patut dijadikan penghubung antara satu sama lain dan inilah asas perjuangan PBB sama juga dengan parti-parti BN yang lain… SUPP, SPDP dan PRS,” kata Taib di hadapan kira-kira 5,000 perwakilan dan pemerhati PBB.