Tuesday, November 19

Alexander harap lebih banyak Komputer Riba 1Malaysia diagih di kawasannya

0

UNTUK RAKYAT: Alexander (dua kiri) menyerahkan KR1M kepada salah seorang penerima pada penutupan Sukan Tahunan SK Ulu Bawan di Kanowit. Turut kelihatan Tiran (kiri) dan Jelani.

SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent berharap lebih banyak Komputer Riba 1Malaysia (KR1M) akan diagihkan di kawasannya pada masa akan datang.

Menurutnya, komputer riba adalah sangat penting kerana dianggap sebagai alat pendidikan kontemporari ketika ini.

“Sudah menjadi matlamat kerajaan melihat para pelajar di kawasan luar bandar menguasai serta celik teknologi maklumat (IT) seperti pelajar di bandar.

“Dengan mempunyai KR1M, pelajar boleh melayari Internet untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi membantu mereka cemerlang dalam pelajaran serta mengetahui perkembangan dunia.

“Justeru, saya cuba mendapatkan lebih banyak KR1M untuk diagihkan kepada para pelajar di kawasan DUN Ngemah dalam usaha menjadikan mereka (pelajar) di kawasan luar bandar tidak buta IT,” katanya pada penutupan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Bawan di Kanowit, Sabtu lalu.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Hulu Bawan Tiran Tinseng dan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Jelani Ajang.

Ini merupakan kunjungan yang penuh memori buat Alexander ke SK Hulu Bawan kerana sekolah tersebut merupakan sekolah lamanya.

Alexander belajar di sekolah itu dari tahun satu hingga enam semasa mendiang ayahnya menjadi guru besar di sekolah yang sama ketika itu.

Sekolah itu turut melahirkan kenamaan lain seperti bekas Menteri Tenaga, Telekom dan Pos Tan Sri Leo Moggie yang kini Pengerusi Tenaga Nasional Berhad dan Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang yang mendapat pendidikan awal di sekolah itu.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan KR1M kepada 12 murid tahun enam sekolah tersebut.

Sehubungan itu, Alexander menasihati murid-murid supaya memaklumkan kepada guru besar masing-masing jika mereka mempunyai masalah dengan KR1M mereka.

“Setiap KR1M mempunyai tempoh jaminan selama setahun.

“Kita dimaklumkan oleh guru besar bahawa tempat servisnya adalah di bandar Sibu jika perlu,” jelasnya.

Sementara itu, beliau menasihati penduduk luar bandar supaya terus bersatu padu di kalangan mereka dalam apa juga usaha.

Beliau berkata, jika penduduk sepakat dalam apa juga usaha bermakna mereka bersatu padu.

“Apabila rakyat bersatu, ia lebih mudah bagi kerajaan untuk melaksanakan projekprojek pembangunan di kawasan anda,” tambahnya.

Beliau kemudian mengumumkan geran sejumlah RM20,000 untuk sekolah tersebut dan bercadang mendirikan sebuah tempat perhimpunan yang beratap dan dilakukan secara gotong-royong untuk menjimatkan kos.