Jadikan memancing laut produk ekopelancongan

0

RAIKAN BERSAMA: Wong (dua kiri), Lau (tiga kiri) serta ahli jawatankuasa melakukan ‘Yee Sang’ pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-10 SFC di Sibu, malam Ahad lalu.

Tarik pelancong sambil menikmati keindahan alam

SIBU: Kelab Pemancing Sibu (SFC) menggesa kerajaan untuk menggalakkan aktiviti memancing di laut dalam sebagai satu ekopelancongan.

Pengerusinya Wong King Uieng berkata aktiviti memancing di laut dalam adalah satu bentuk rekreasi dan dapat menarik pelancong dari luar sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

“SFC berharap aktiviti memancing harus konsisten dengan undang-undang laut antarabangsa, perlindungan alam sekitar dan dasar laut supaya kita bukan sahaja dapat menangkap ikan malah mendapat hasil daripada aktiviti tersebut,” katanya pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-10 SFC di sini, malam Ahad lalu.

Wong berkata, memancing adalah satu aktiviti riadah yang baik serta membolehkan pemancing memahami hubungan antara manusia dan alam sekitar seterusnya memupuk sikap cinta kepada alam semula jadi.

“Memancing adalah seperti bermain golf, anda bukan sahaja perlu peralatan dan bot yang baik tetapi juga perlu mempunyai seorang kapten yang cekap untuk membawa anda ke tempat yang baik untuk menangkap banyak ikan,” jelasnya.

Beliau berkata, aktiviti memancing mengajar seseorang bersabar, tabah dan dilatih menggunakan kekuatan fizikal serta kebijaksanaan.

Sementara itu, SFC sering mengadakan aktiviti memancing di laut dalam serta menghantar penyertaan pertandingan memancing.

“Saya percaya melalui memancing, kita dapat bertukar-tukar pengalaman memancing serta mengeratkan perpaduan dalam masyarakat yang harmoni,” katanya.

Penasihat Kehormat SFC Lau Kiu Seng berkata ahli-ahli kelab memancing selain mempunyai landasan yang sama juga membolehkan ahli berkongsi keseronokan memancing serta menggalakkan keharmonian dan perpaduan.

Sebagai seorang penggemar memancing laut dalam, beliau berkata: “Memancing adalah aktiviti yang sihat dan mengajar kita erti kesabaran.

“Saya percaya sikap tersebut adalah sama seperti dalam kehidupan kita yang memerlukan ketabahan dan kekuatan mental serta fizikal.

“Memancing dapat menghilangkan rasa stres daripada tekanan kerja,” tambah Lau.

Majlis itu dihadiri kira-kira 400 hadirin dari Sarikei, Bintulu, Miri termasuk ahli SFC dan dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah berupa eksesori pancing.