Lewat bayar ganjaran punca balu tentera kena angin ahmar

0

Kelewatan ATM buat bayaran penyebab ibu diserang penyakit ini: Anak

KUCHING: Kelewatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membayar ganjaran dan simpanan Lembaga Kumpulan Wang Persaraan ATM (LTAT) arwah suami dikatakan telah menyebabkan seorang balu bekas sarjan tentera dari Simunjan terkena angin ahmar (strok).

Wanita tersebut, Menti Seman dan ibu beranak tiga itu kini dirawat di Hospital Umum Sarawak selepas mengalami strok kira-kira seminggu yang lalu.

Mendiang suaminya, Sgt Howell Enteri telah berkhidmat di Rejimen Renjer Ke-3 yang berpangkalan di Sibu meninggal dunia pada 5 September tahun lalu juga disebabkan strok.

Menceritakan secara ringkas keadaan mereka kepada pemberita di sini semalam, anak perempuannya Vivyanny Chandu Howell, 19, menyalahkan kelewatan ATM untuk membayar apa yang sewajarnya kepada mereka sebagai penyebab masalah yang menimpa ibunya.

Menurutnya, ibu mereka mengalami strok kerana terlalu tertekan apabila wang yang mereka tunggu tidak pernah sampai selepas lebih daripada setahun.

“Ibu saya menjadi sangat tertekan setiap kali dia menyebut tentang pinjaman kereta kami yang telah tertunggak dan ditambah lagi dengan cukai jalan dan insurans yang sudah tamat tempoh.

“Dia berharap untuk mendapatkan ganjaran ayah saya sama ada dalam bentuk pencen atau apa sahaja supaya dia dapat membayar ansuran pinjaman tertunggak, memperbaharui insurans dan cukai jalan.

“Dia juga merancang untuk menggunakan wang tersebut untuk membina rumah kami di kampung tetapi menghairankan selepas lebih setahun, masih tiada sebarang tanda ganjaran tersebut akan diberi.

“Sejak kematian ayah saya, setakat ini kami hanya menerima sebanyak lebih RM7,000, itu sahaja,” katanya.

Menurut Vivyanny, keluarga mereka telah melakukan beberapa usaha untuk memeriksa dengan bekas unit bapanya di Sibu tetapi jawapan yang diberikan kepada mereka adalah perkara itu masih diproses.

“Hanya beberapa hari lalu, saya menerima maklumat bahawa ganjaran ayah saya telah dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam akaun bank ibu saya.

“Malangnya apabila saya pergi ke bank bersama-sama sepupu saya untuk memeriksa, kami diberitahu bahawa tiada orang lain dapat mengambil keluar wang kecuali ibu saya.

“Ini adalah satu lagi dilema yang kami hadapi kerana dalam keadaan sekarang bagaimana ibu saya boleh pergi ke bank dan mengeluarkan wang tersebut,” katanya.

Diminta mengulas mengenai perkara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Leftenan Kol Monday Juhid menyatakan rasa simpati kepada keluarga balu tersebut atas kesusahan yang mereka hadapi.

“Malangnya dokumentasi dan proses bagi pembayaran ganjaran tidak berada di bawah kami.

“Dalam keadaan biasa, dokumentasi dilakukan oleh unit masing-masing dan dikemukakan kepada Rekod Angkatan Tentera dan Jabatan Pencen (JRP).

“Jadi dalam kes ini seperti orang lain saya juga tidak dapat memberitahu apa yang sebenarnya telah menyebabkan kelewatan atau di mana ia tersekat.

“Bagaimanapun, saya menyeru agar kes-kes sebegini diberi keutamaan kerana kita tidak mahu balu dan keluarga mereka menderita,” katanya.

Dalam pada itu, Monday turut memberi jaminan bahawa pejabat JHEV akan melakukan yang terbaik untuk membantu dan memastikan bahawa anak-anak balu tersebut dapat mengeluarkan wang dari bank bagi pihaknya.

“Apa yang anak-anak balu itu perlu lakukan ialah datang ke pejabat kami di Satok dan kami akan memberi mereka beberapa borang untuk diisi dan mereka boleh mengeluarkan wang itu,” katanya.