Miri mempunyai lebih 11,000 lot parkir menjelang 2015

0

BINCANG: Lawrence (dua kanan) bersama yang lain ketika berbincang tentang permasalahan melibatkan pengguna jalan raya di Bandar Baharu Permyjaya semalam.

MIRI: Bandar raya Miri akan mempunyai lebih daripada 11,000 lot parkir kenderaan menjelang 2015.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai berkata pihaknya berharap penambahan jumlah berkenaan adalah selaras dengan kewujudan kawasan dan pusat komersil baharu.

“Terdapat penambahan dari segi bilangan kawasan dan pusat komersil di Miri, sekali gus meningkatkan bilangan lot-lot parkir,” katanya di sini semalam.

Kawasan pembangunan baharu seperti kawasan Marina Parkcity dan kawasan Waterfront Miri sahaja bakal mewujudkan 2,500 lot parkir menjelang tahun tersebut.

Sementara itu, mengenai khabar angin yang menyatakan bahawa pihak MBM akan menaikkan harga kupon, Lai memberitahu: “Perkara berkenaan tidak benar.

“Buat masa ini, kita belum naikkan harga kupon kenderaan untuk lot parkir dan mengenai tender pula pihak kami masih membuat penilaian ke atas empat syarikat swasta,” jelasnya.

Katanya sebaik sahaja persetujuan dicapai, antara perjanjian dengan syarikat yang mengambil alih berkenaan parkir kenderaan adalah untuk tidak menaikkan harga kupon.

Mengenai beberapa rungutan pelanggan mengenai kekurangan kupon untuk dua dan empat jam, beliau memberitahu bahawa perkara berkenaan sepatutnya tidak berlaku.

Bagaimanapun, pihaknya akan mengkaji dan meneliti perkara berkenaan dengan merujuk kepada pondokpondok menjual kupon dan ejen penjual kupon parkir.

Buat masa ini, terdapat sekitar 100 ejen penjual kupon dan 15 pondok menjual kupon sekitar Miri.

Mengenai tenaga kerja terlibat dengan lot parkir dan kupon pula, MBM kini mempunyai 35 atendan lot parkir dan 15 orang penjual kupon.

Sebelum itu, Lawrence dan rombongan melawat beberapa kawasan seperti Bandar Baharu Permyjaya, Taman Jelita dan Tukau mengenai masalah melibatkan jalan raya.