Thursday, April 25

Pasukan Kastam terpaksa akur di tempat keempat

0

SIBU: Pasukan Kastam terpaksa akur dengan tempat keempat dalam kancah Liga Sibu 2013, setelah pasukan gagal beraksi menentang V8 FC pada perlawanan terakhir Sabtu lalu.

Kegagalan itu sekali gus memberi kemenangan kepada V8 FC yang sebelum itu berada di tangga keempat liga, naik satu tangga untuk berada di tangga ketiga.

V8 FC menduduki tangga ketiga setelah mengumpul 26 mata, satu mata di hadapan pasukan Kastam yang mendapat 25 mata.

Liga Sibu 2013 bermula 13 April lalu dimenangi oleh pasukan Nazario FC yang mengumpul 30 mata, diikuti Mukah Nafas FC kedua dengan 27 mata.

Pasukan Kastam dilihat mampu menduduki tangga kedua sekiranya mereka memenangi perlawanan terakhir, lebihlebih lagi pasukan itu menjadi pilihan sepanjang Liga Sibu.

Namun, kegagalan pemain pasukan yang kebanyakan dari Sarikei untuk beraksi benar-benar mengejutkan peminat bola sepak di sini serta pasukan lawan, V8 FC.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Bahagian Sibu (SFA), Abdul Hajis Abdullah melahirkan rasa kecewa dengan kemenangan percuma yang memihak kepada V8 FC itu.

Katanya, pasukan Kastam tidak dapat beraksi pada Sabtu lalu selepas kebanyakan pema i n dikatakan menghadiri kursus di Kuching.

“Pasukan itu tidak mempunyai pemain mencukupi dan terpaksa akur dengan kemenangan percuma kepada V8 FC,” katanya sambil menambah rata-rata peminat bola sepak yang hadir kecewa kerana tidak dapat melihat aksi perlawanan terakhir itu.

Sementara itu, TZ FC dan Rimba Hijau FC berkongsi tangga kelima dengan 19 mata, diikuti Exodust FC (14), Rascom FC (10), Miskal FC (9), Polis (6), Singgah Selalu FC (5) dan DD FC (2).

Juara Liga Sibu 2013 menerima wang tunai RM3,000, piala dan medal sementara naib juara menerima RM2,000.

Pemenang ketiga menerima RM1,000 dan keempat RM500.

Pemenang akan menerima hadiah selepas berakhir Liga Lea FA Sibu 2013 pada November depan.