Peka masalah kejiranan

0

PENGHARGAAN: Delin (tengah) bersama ahli-ahli KRT memotong kek meraikan beliau bakal berpindah tugas ke Sabah. Turut kelihatan Dirwana (enam kiri) di Bintulu Ahad lalu.

BINTULU: Semua Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negeri ini disaran agar sentiasa peka setiap isu atau permasalahan melanda kejiranan atau mukim jagaan masing-masing bagi mewujudkan suasana kediaman yang selesa dan selamat.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sarawak Dirwana Azool berkata sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai bangsa adalah menjadi tanggungjawab setiap KRT menarik seramai mungkin penduduk mendiami sesebuah kawasan perumahan atau mukim untuk menjadi ahli.

“Sebaik-baiknya, setiap KRT harus disertai oleh masyarakat pelbagai kaum di kawasan kediaman dalam usaha menyemai semangat perpaduan serta kejiranan kalangan penduduk di sesebuah penempatan,” katanya pada Malam Penghargaan JPNIN di sini Ahad lalu.

Majlis berkenaan adalah bagi meraikan Timbalan Pengarah JPNIN Negeri Sarawak Delin Blaun yang akan berpindah ke Sabah sebagai Pengarah JPNIN Sabah nanti.

Sambil menyifatkan yang JPNIN sentiasa menitikberatkan soal perpaduan, khususnya kalangan ahli dan penduduk setempat, Dirwana berkata ini landasan terbaik bagi menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Kita berharap setiap KRT di negeri ini aktif dalam setiap program anjuran mereka terutama melibatkan pencegahan jenayah di kawasan kediaman masing-masing,” ujarnya.

Katanya ahli-ahli KRT boleh memanfaatkan peruntukan kerajaan dalam penganjuran program bercorak integrasi serta perpaduan bagi mengukuhkan semangat perpaduan masyarakat di setiap kawasan kejiranan.

Dirwana turut menasihati anggota KRT agar sentiasa menyediakan diri dengan sebarang bentuk ilmu seperti kemahiran IT serta teknologi komunikasi moden.

“Kemahiran komputer akan membolehkan segala urusan berkaitan JPNIN terutama program serta perancangan dapat dimaklumkan dengan pantas dan efisien kepada masyarakat,” katanya.