Tiada tiket buat atlet judo Sarawak ke Myanmar

0

EMAS: Andrew dan Samuel (kanan) merangkul emas dan perak dalam acara 100kg ke atas.

KUCHING: Tiada tiket buat atlet judo Sarawak ke Sukan SEA Myanmar meskipun mereka menampilkan persembahan cemerlang pada Kejohanan Judo Kebangsaan Senior 2013 yang diadakan pada 19-20 Oktober lalu di Sekolah Sukan Tengku Mahkota (SSTM), Bandar Penawar Johor.

Atlet yang semakin meningkat naik Andrew Sia sekali lagi membuktikan kejaguhan dengan meraih emas dalam kategori 100kg ke atas.

Beliau bagaimanapun terpaksa berhempas pulas menentang adiknya sendiri, Samuel Sia dalam acara final sebelum menang menerusi kiraan ‘ippon’.

Sebelumnya, Andrew mengejutkan atlet Sukan SEA yang akan ke Myanmar pada Disember ini, Mohamad Ruzaini dari SSTM pada pusingan pertama.

Beliau berjaya melangkah ke final setelah membenam Abad Hadi yang mewakili Wilayah Persekutuan dalam saingan separuh akhir.

Sementara itu, pemenang pingat emas 2011, Brenton Sim sekadar meraih gangsa dalam kategori 100kg ke bawah.

Pengurus pasukan, Nyam Sze Yuang menjelaskan beliau sangat gembira dengan pencapaian anak-anak buahnya terutama adik-beradik Sia.

“Saya sangat gembira dan berpuas hati dengan pencapaian atlet negeri dalam kejohanan ini. Mereka mempunyai potensi yang sangat besar dan mampu pergi dengan lebih jauh,” katanya.

Menurut Nyam, kejohanan berkenaan memberi pendedahan berguna kepada semua atlet negeri yang terlibat.

Jelasnya, melalui kejohanan itu Persatuan Judo Sarawak (PJS) dapat menilai keupayaan atlet negeri ketika bersaing dengan atlet dari negeri lain.