CSSA dibenar buka pusat kumpul e-Waste

0

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) telah memberi lampu hijau kepada Persatuan Jualan dan Perkhidmatan Komputer (CSSA) untuk membuka pusat pengumpulan sisa buangan elektronik (e-Waste) bagi membantu melupuskan sisa terbabit dengan cara yang betul.

Timbalan Pengerusi MPS Daniel Ngieng Kiong Ann berkata, satu kertas cadangan telah dihantar kepada pihak MPS oleh CSSA Cawangan Sibu bagi tujuan tersebut.

“CSSA akan mendapatkan dana mereka sendiri bagi mendirikan pusat pengumpulan ini, selain bekerjasama rapat dengan Jabatan Alam Sekitar.

“Pihak majlis hanya membantu mereka dan setelah pusat ini menjadi kenyataan, orang ramai akan mempunyai tempat bagi melupuskan komputer, pencetak dan sebagainya yang tidak digunakan lagi,” ujarnya kepada pemberita, kelmarin.

Menurut Ngieng, ketiadaan pusat pelupusan yang sesuai telah menyebabkan orang ramai membuang set komputer dan pencetak yang rosak ke tapak pelupusan sampah di Jalan Seng Ling.

Pelupusan sisa elektronik dengan cara itu katanya, hanya akan memberikan kesan buruk kepada alam sekitar.

“Ini kerana sesetengah komponen elektronik ini mengandungi bahan toksik yang memudaratkan kesihatan,” jelasnya.

Ngieng juga memberitahu, pihak majlis akan memberikan masa yang mencukupi kepada CSSA bagi mendirikan pusat pengumpulan sisa elektronik itu.

“Kami akan menyerahkan kepada mereka untuk mendapatkan dana bagi menyiapkan projek,” katanya sambil menambah pembinaan pusat terbabit amat perlu pada masa kini.