Monday, October 21

Kecurian elektrik: Komen dan respons wakil rakyat dihargai

0

KUCHING: Syarikat SESCo Berhad (SESCo) menghargai setiap komen dan respons yang diterima daripada wakil rakyat berhubung sokongan kepada pihaknya dalam memerangi kes kecurian tenaga elektrik di seluruh negeri ini yang kian berleluasa.

Bagaimanapun, SESCo ingin membetulkan kenyataan yang dibuat oleh ADUN Dudong Yap Hoi Liong yang memberitahu bahawa SESCo menjadi punca ketidakadilan kepada pengguna.

SESCo menjelaskan bahawa pihaknya mempunyai panduan serta prosedur yang teratur dalam mengenal pasti permasalahan yang berlaku pada sumber tenaga elektrik mahupun penggantian meter.

Pihak SESCo tidak akan menukar meter dengan semudahnya akan tetapi sekiranya SESCo mengenal pasti terdapat kejanggalan pada bacaan meter mahupun fungsi meter, pihaknya akan menukar meter tersebut bagi mengelakkan bahaya kepada penduduk isi rumah mahupun premis.

Juruteknik SESCo merupakan juruteknik terlatih dalam mengesan kejanggalan yang terdapat pada meter dan mengikut Ordinan Elektrik, penyeliaan pada sistem meter merupakan aktiviti yang dibenarkan dan undang-undang membantah sebarang aduan atau permasalahan berhubung aktiviti ini.

Jurucakap SESCo menjelaskan bahawa tidak semua meter yang diganti oleh pihaknya akan dikenakan caj tunggakan.

Meter lama yang ditukar akan dibawa ke Makmal Meter SESCo untuk pengesahan dan caj tunggakan hanya akan dikeluarkan pada setiap bil pengguna sekiranya didapati terdapat kesan kerosakan pada meter tersebut ataupun terdapat pendaftaran di bawah penggunaan kuasa elektrik bulanan.

Bagi kesemua kejanggalan yang dikenal pasti, pihak SESCo akan mengambil tindakan untuk melaporkannya kepada pihak polis dan siasatan berhubung kes berkaitan akan dijalankan.

Jurucakap SESCo turut menegaskan, pihak SESCo turut membuka proses rayuan bagi pengguna yang ingin mengetahui bagaimana jumlah tunggakan tersebut dikenakan dalam bil masing-masing.

Pihak SESCo akan menjelaskan butiran menyeluruh mengenai jumlah tunggakan mereka dan sekiranya pengguna memiliki segala dokumen sokongan bolehlah dibawa bersama semasa memohon proses rayuan tersebut.

Sehingga kini, pihak SESCo telah menerima 284 kes rayuan dan 166 kes daripadanya telah diluluskan rayuan untuk menyemak semula jumlah tunggakan berdasarkan dokumen sokongan yang dilampirkan sekali oleh pengguna.

Pihak SESCo sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada ahli politik dan orang ramai atas sokongan dalam membanteras jenayah kecurian tenaga elektrik.

Kes kecurian tenaga elektrik masih berleluasa di negeri ini dan Sibu mencatat kes kecurian paling tinggi dan dengan kes di seluruh negeri, SESCo telah mengenal pasti kerugian dalam masa setahun sebanyak RM70 juta.

Undang-undang menetapkan bahawa mencuri elektrik boleh dihukum denda sehingga RM100,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.

Pihak SESCo akan terus berusaha membanteras jenayah tersebut dan orang awam boleh terus memberi maklumat kecurian tenaga elektrik kepada pihak SESCo di talian 082- 443535 dan segala maklumat akan disimpan sebagai sulit.