Pendidikan ejen pengubah masa depan seseorang

0

TERUSKAN USAHA: Mawan menyampaikan sijil dan Anugerah Tokoh Kokurikulum kepada seorang pelajar SMK Bahasa Malaysia Saratok iaitu Fatin Nadzwa sambil disaksikan oleh guru-guru.

Namun ia harus diselari dengan agenda-agenda lain merangkumi persekitaran, sifat dalam diri: Mawan

SARATOK: Pendidikan adalah ejen yang telah terbukti berjaya mengubah masa depan seseorang daripada perpspektif gelap kepada yang lebih cerah dan terjamin.

Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata, namun demikian ia harus diselarikan dengan agenda-agenda lain yang merangkumi persekitaran dan sifat dalam diri seseorang.

“Bagi seseorang yang bergelar pelajar, sokongan daripada semua pihak terutama daripada ibu bapa, pihak sekolah serta masyarakat setempat akan mampu melahirkan modal insan yang lebih berketerampilan dan berdaya maju pada masa akan datang.

“Kita harus sedar, dalam situasi negara yang bergelumbang dengan usaha untuk menjadi sebuah negara maju yang berjaya, pemimpin negara terus berusaha menjadikan agenda pendidikan sebagai satu perkara yang terus dipandang serius.

“Melalui keadaan itu, kita harus sedar tanpa sokongan semua pihak misi kerajaan yang memberi pandangan serius terhadap agenda pendidikan agar terus cemerlang tidak akan mencapai visinya.

“Maka dengan itu, kita berharap rakyat khususnya masyarakat dari kawasan luar bandar sewajarnya memandang serius akan perkara ini dan bersama- sama berganding bahu dengan semua pihak menjayakan misi ini, kerana ia membawa impak yang positif kepada semua pihak terutama yang peka dan serius agenda ini,” kata Mawan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi Prauniversiti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahasa Malaysia Saratok, semalam.

Majlis berkenaan berlangsung di Dewan Sri Semerbak dan dihadiri sekitar 200 orang yang terdiri daripada pelajar, ibu bapa, guru dan para jemputan.

Penyampaian sijil kepada graduasi Prauniversiti Penggal Ke-3 turut diadakan pada majlis berkenaan.

Aktiviti-aktiviti lain adalah penyampian sijil kepada ketua dan penolong ketua tingkatan, penyampai sijil kepada pengawas, ahli jawatankuasa majlis perwakilan pelajar, sijil keahlian kokurikulum dan kategorikategori lain.

Sementara itu Anugerah Tokoh Kokurikulum diberikan kepada dua pelajar tingkatan enam atas iaitu Fatin Nadzwa Abdul Kadir dan Asmaul Husna Majuan.

Anugerah Tokoh Pelajar turut diberikan kepada Asmaul Husna Majuan, seorang penagawas sekolah yang telah menunjukkan kecemerlangan daripada aspek kepimpinan, akademik, kokurikulum, hubungan sosial dan berketerampilan.

Terdahulu, Pengetua SMK Bahasa Malaysia Saratok Maseli Idi dalam ucapan alu-aluannya berkata, pada tahun ini seramai 88 pelajar berjaya menerima anugerah graduasi prauniversiti.

Pada majlis sama, Mawan mengumumkan peruntukan geran tambahan sebanyak RM20,000 kepada sekolah terbabit.

Turut hadir Setiausaha Politik Ketua Menteri Paul Igai, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Saratok Supian Ekeram dan wakil Pegawai Daerah merangkap Pegawai Menguasa Daerah Kecil Kabong (SAO) Nazari Bujang.