Monday, October 21

Perhimpunan Agung PBB berjaya: Awg Tengah

0

DUA SEJOLI: Taib dan Ragad yang menyanyikan lagi Tan Sri P.Ramlee ‘Tunggu Sekejap’ dan ‘Bagai Bulan Dipagar Bintang’ semasa majlis makan malam PBB di BCCK, malam kelmarin.

Perhimpunan diakhiri dengan majlis makan malam dimeriahkan pemerhati dan perwakilan

KUCHING: Selepas lima hari berlangsung, Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-13 melabuhkan tirainya dengan majlis makan malam yang disambut meriah oleh para pemerhati dan perwakilan.

Majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam kelmarin, menyaksikan Presiden PBB merangkap Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Ragad Kurdi Taib sebagai tetamu kehormat.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran ahli-ahli Majlis Tertinggi lain, juga menteri kabinet negeri dan persekutuan serta isteri masing- masing.

Sementara itu Naib Presiden Kanan PBB merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pengelola Perhimpunan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam ucapannya berkata perhimpunan dihadiri semua 71 cawangan PBB di Sarawak yang melibatkan perwakilan dan pemerhati hampir 5,000.

“Kita amat berterima kasih kepada semua yang terlibat kerana perhimpunan ini dapat kita anjurkan dengan jayanya.

“Pertamanya kita berjaya dari sudut merapatkan perhubungan pemimpin atasan dan akar umbi parti,” katanya.

Malahan kata beliau perhimpunan juga dapat menyatupadukan pemikiran serta aspirasi para ahli selain menyatupadukan tentang arah atau langkah perlu dilakukan dalam usaha meneruskan perjuangan parti.

Beliau pada masa yang sama berharap semangat perjuangan terus disemarakkan demi kepentingan maruah bangsa dan negeri ini.

Majlis makan malam itu lebih meriah dengan penampilan Taib serta isteri yang berduet menyanyikan dua lagu, iaitu Tunggu Sekejap dan Bagai Bulan Dipagar Bintang, kedua-duanya dendangan Tan Sri P.Ramlee.

Para pemerhati dan perwakilan turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada penyanyi tempatan dan tanah air, iaitu Datuk Jeffrydin, Andrewson Ngalai, Rem dan ramai lagi.

Sempena Ulang Tahun Ke-50 PBB, acara memotong kek pulut kuning turut diadakan yang disempurnakan oleh Taib serta ahli Majlis Tertinggi lain.

Perhimpunan yang bermula pada 18 hingga 22 Oktober dan bertemakan ‘50 Tahun Kegemilangan Lonjak Perjuangan Kita Ke Hadapan’ itu sebelum ini dirasmikan oleh Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional Pusat Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Oktober.