Rani optimis skuadnya mampu menyerlah

0

KUCHING: Pengurus merangkap jurulatih badminton negara Abdul Rani Jaafar percaya skuadnya berpeluang cerah untuk meraih pingat pada Sukan Para Remaja Asia yang akan diadakan di Kuala Lumpur dari 26-30 Oktober 2013.

Meskipun tidak dapat menilai keupayaan pemain dari negara lain, Rani tetap melahirkan rasa keyakinan bahawa skuadnya akan mencipta kejayaan cemerlang pada temasya tersebut.

“Kita tidak dapat menilai tahap atlet dari negara lain. Ini kerana kita tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai pemain yang akan bertanding di Kuala Lumpur,” jelas Rani.

“Justeru, agak sukar bagi kita menilai kekuatan pemain lawan. Namun setelah melihat komitmen para pemain semasa latihan selain prestasi mereka yang semakin meningkat, saya optimis mereka mampu menamatkan saingan di podium.”

Skuad negara akan menyertai dua kategori iaitu perseorangan dan beregu yang dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu Standing Lower 4 (SL4) dan Standing Upper 5 (SU5).

Mereka mempertaruhkan harapan terhadap enam pemain iaitu Johnson Chai Yuk Seng (perseorangan – SL4), Nazmi Nabil Nazmi (perseorangan – SL4), Megat Qayum Yunis (perseorangan dan beregu – SL4), Muhammad Nuraizat Iqbal (perseorangan dan beregu – SL4), Ahmad Effendi Razaman (perseorangan dan beregu – SU5) dan Amyrul Yazid Ahmad Sibi (perseorangan dan beregu – SU5)

Megat dan Iqbal menjadi pilihan negara untuk memungut pingat dalam acara perseorangan dan beregu.

“Kita telah melakukan persediaan sebaiknya untuk menghadapi kejohanan ini. Saya tidak berani untuk meletakkan apa-apa sasaran namun yakin kilauan pingat bakal dibawa pulang oleh skuad badminton,” tambahnya.

Skuad mendapat latihan dari bekas jurulatih negara Moe Chin Kiat yang pernah melatih adik-beradik Sidek, James Selvaraj, Chan Chong Ming, Tan Bin Shen dan Wong Mew Choo.

Mereka berlatih tiga kali seminggu sejak lima bulan lepas.

Menurut Rani, pihaknya mengalami kesukaran untuk memberi latihan kerana ada pemain yang tinggal di Perak dan Johor.

“Sesetengah atlet terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menjalani latihan berpusat kerana kami tidak mampu untuk mengumpul kesemua mereka setiap hari.

“Justeru, kami mengumpul kesemua mereka dan memberi latihan pada hujung minggu. Atlet yang berada di Lembah Klang berlatih pada hari Rabu manakala selebihnya berlatih dengan jurulatih peribadi di tempat tinggal masing-masing.”

Sebanyak 10 buah negara dijangka berkampung di Kuala Lumpur untuk menyertai temasya sukan melibatkan remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) yang diadakan empat tahun sekali.

Acara badminton akan dilangsungkan dari 27-29 Oktober di Stadium Juara, Bukit Kiara.