
MANTAP: Aksi mantap Jackie pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia.
KUCHING: Atlet melontar tukul besi kebangsaan Jackie Wong mahu memperbaiki pencapaiannya pada Sukan SEA di Myanmar pada Disember ini.
Pelajar berusia 21 tahun dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM) itu mensasarkan untuk merekod 60 meter setelah berjaya mencatat lontaran sejauh 57.46 meter pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Saya berlatih dengan gigih setiap hari untuk memperkukuh lontaran saya agar dapat mencapai sasaran 60 meter. Tetapi, saya juga berharap dapat mencatat rekod yang lebih jauh,” katanya dihubungi semalam.
Jackie merupakan pemenang pingat gangsa pada Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia dengan lontaran sejauh 58.30 meter.
Pada Sukan Solidariti Islamik ketiga di Palembang, Indonesia baru-baru ini, Jackie memecah rekod berusia 20 tahun milik rakan senegeri, Wong Tee Kui yang dilakarnya pada Sukan SEA 1993 di Singapura dengan lontaran sejauh 59.53 meter.
Beliau turut meraih emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Melaka pada 2010 dengan lontaran sejauh 55.14 meter dan memecah rekod baharu dua tahun kemudian pada temasya sama di Pahang dengan 55.25 meter.
“Sebenarnya, rekod yang saya capai ini adalah di luar dugaan saya sendiri. Namun, saya berharap dapat mencatat rekod yang lebih baik pada Sukan SEA kali ini,” katanya.
Meskipun beliau tidak mencapai rekod kelayakan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Jackie menempah tiket kerana berada di ranking ketiga dalam acara tersebut di Asia Tenggara.
Beliau akan ditemani seorang lagi atlet negeri dari Sarikei, Michael Sia Sung Dak yang merangkul perak pada Terbuka Malaysia.
Atlet yang semakin naik itu juga disenaraikan sebagai atlet pelapis untuk menghadapi Sukan SEA 2015 di Singapura.
Atlet Sarawak yang turut menempah slot ke Sukan SEA Myanmar ialah Casier Renee Kelly Lee (melontar tukul wanita), Mohd Jironi Ridzuan (800 meter lelaki) dan Mohd Arif Zulhilmi Alet (400 meter lelaki).