Tiga atlet renang Sekolah Istimewa layak sertai Olimpik Khas

0

MIRI: Tiga atlet renang dari Sekolah Istimewa SMK St Joseph layak menyertai kejohanan Olimpik Khas peringkat negeri yang akan diadakan di Miri pada 3 No­vember depan.

Mereka ialah Clarence Mika Junis, Prem Kenneth Mahkhindran dan Gabriel Pidan Charles. Mereka ter­pilih setelah cemerlang dalam pertandingan renang Olimpik Khas Gala Miri di kolam re­nang awam semalam.

Clarence menjuarai acara renang kuak dada dan gaya bebas 25 meter untuk kate­gori lelaki 13 hingga 15 ta­hun. Lenny pula menjuarai acara renang kuak dada dan gaya bebas 25 meter untuk kategori wanita 16 tahun dan ke atas.

Prem menjuarai acara re­nang kuak dada 25 meter dan muncul tempat ketiga gaya bebas 25 meter untuk kategori lelaki 16 tahun dan ke atas.

Turut cemerlang semalam ialah dua atlet dari Pusat Jag­aan Harian Sunflower Bulan Sabit Merah iaitu Modikai Remmy Panai dan Lenny Ling.

Modikai menjuarai acara gaya bebas 25 meter dan tem­pat kedua gaya bebas 25 meter lelaki 16 tahun ke atas.

Sementara itu, Gabriel men­dapat tempat kedua acara gaya bebas 25 meter dan tempat ketiga kuak dada 25 meter kategori lelaki 16 tahun dan ke atas.

Untuk kejohanan peringkat negeri, semua mereka akan bertanding empat acara iaitu gaya bebas 25 meter (Lenny dan Prem), gaya bebas 50 meter (Gabriel dan Prem) se­mentara Modika dan Clarence bertanding acara gaya bebas 100 meter dan 200 meter.

Seramai 47 atlet mewakili empat pasukan terlibat dalam 24 acara dalam pertandingan semalam. Pasukan lain ialah SK Jalan Bintang dan SMK Luak.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Olimpik Khas Sarawak Miri, Liza Chai, pegawai Jabatan Belia dan Sukan Rynnille Elsther Peter dan Hamzah Tahir. Turut hadir Ketua Jurulatih Ol­impik Khas Sarawak, Faizal Abdullah.

Seramai 250 atlet dari Kuch­ing, Sibu, Bintulu, Sri Aman dan Miri akan berkumpul di Miri selama lima hari untuk menyertai kejohanan Ol­impik Khas peringkat negeri yang mempertandingkan lima acara iaitu `boyce’, bola sepak, renang, boling serta padang dan balapan.