Ahli KRT harus tingkatkan pengetahuan dalam bidang ICT

0

BELAWAI: Ahli-ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) diminta meningkatkan pengetahuan terutama berkaitan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh berkata kemahiran amat penting terutama dalam dunia globalisasi yang berasaskan sistem perkomputeran dalam melakukan kerja dan urusan.

“Dengan adanya kemahiran dan kebolehan seperti ini, kita dapat menjimatkan masa, tenaga dan ruang kerana kebanyakan urusan seperti pembayaran bil, permohonan kerja, pencarian maklumat secara pantas dapat dilakukan dengan melayari setiap ruang berkaitan di Internet.

“Bagi ahli-ahli KRT, dengan adanya kemahiran ini mereka dapat membantu kerajaan menangkis tohmahan negatif yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Pengetahuan mereka dalam bidang itu dapat memberi kefahaman serta menangkis fakta palsu,” katanya pada Majlis Pelancaran KRT Kampung Jerijeh, di sini kelmarin.

Len juga mahu masyarakat terutama generasi muda berhati-hati dan membuat penilaian bijak sebelum mempercayai sebarang maklumat.

Hadir sama Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sarikei Ahmad Noorkamal Abdul Malik, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarikei Ahmat Adai, Penghulu Dandan Sidi dan Pengerusi KRT Jalan Sri Bahagia Kadi Sidek.

Len berkata, peranan KRT bukan hanya merealisasikan agenda perpaduan sebaliknya mereka menjadi mata dan telinga kerajaan selain menjadi media baharu memperbetulkan maklumat yang sengaja dipesongkan melalui Internet.

Justeru, kejayaan program anjuran KRT akan lebih dominan menerusi penyertaan semua penduduk di samping wujud kerjasama semua pihak khususnya golongan muda.

“Pihak berkenaan perlu melaksanakan lebih banyak acara berkonsepkan perpaduan, selari dengan usaha kerajaan menerusi transformasi pembangunan modal insan.

“Justeru, pembabitan penduduk secara bersama antara matlamat KRT menerusi penyediaan ruang yang santai untuk merapatkan hubungan dengan pemimpin,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan menyasarkan melahirkan kampung yang proaktif melalui penyertaan penduduk dalam pelbagai aktiviti.

“Peruntukan juga akan diberikan kepada kampung yang proaktif dalam menjalankan aktiviti.

“Dalam pada  itu, fungsi serta peranan KRT sebagai pemangkin perpaduan tidak akan mencapai sasarannya sekiranya KRT hanya wujud pada nama tanpa sebarang program,” katanya.

Ujarnya, KRT dibenarkan menubuh jawatankuasa lain antaranya Skim Rondaan Sukarela (SRS) termasuk mengaktifkan sayap-sayap KRT seperti Jiran Muda dan Jiran Wanita.

“Jika KRT dapat memainkan peranan dengan berkesan, kerajaan tidak teragak-agak meluluskan penubuhan KRT yang baharu sama ada di kampung atau kawasan perumahan.

“Setiap tahun, JPNIN meluluskan penubuhan KRT sebagai landasan merapatkan hubungan penduduk pelbagai kaum,” katanya.