Kad biometrik pekerja asing boleh diimbas telefon pintar

0

KUALA LUMPUR: Pekerja asing boleh diperiksa melalui kad biometrik yang dapat diimbas menggunakan tele-fon pintar apabila Sistem Pengurusan Pekerja Asing Berpusat (FWCMS) dilaksanakan kelak.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata apabila kad biometrik itu dikuatkuasakan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan pekerja asing yang gagal mengemukakan kad itu kepada pihak berkuasa semasa pemeriksaan.

“Kita akan terus hantar pulang ke negara asal, mereka tidak dibenarkan lagi masuk (ke Malaysia). Sebelum ini, jika dihantar pulang, mereka boleh menukar nama di negara asal dan datang semula tetapi sistem pada kad biometrik menyebabkan mereka tak boleh berbuat demikian.

“Kita telah dapat persetuju-an daripada semua kedutaan negara sumber pekerja asing untuk menghantar pulang tanpa kompromi,” katanya, sambil menambah kad bio-metrik itu kini dalam peringkat ujian.

Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen di sini semalam, Ahmad Zahid berkata kos pemilikan kad biometrik itu, yang akan dikeluarkan Jabatan Imigresen, perlu ditanggung pekerja dan majikan.

Katanya pelaksanaan kad biometrik itu mungkin diperluaskan kepada pelajar asing di negara ini jika penggunaan kad itu di kalangan pekerja asing berjaya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa 117 syarikat menjalani hukuman atas kesalahan berkaitan pengambilan pekerja asing sejak September 2011 hingga kini.

Terdahulu ketika menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) di Dewan Rakyat berkaitan amalan rasuah dalam pengambilan pekerja asing, Ahmad Zahid menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi jika terdapat maklumat wujudnya amalan rasuah dalam pengurusan kemasukan pekerja asing.

“Saya tidak akan pernah berkompromi dengan pera-suah sama ada dilakukan oleh pegawai Kementerian Dalam Negeri, Imigresen atau individu yang mengaku dari KDN. Tindakan akan saya lakukan dengan kadar segera,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Dewan Rakyat bahawa 2,116,998 pekerja asing memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah dan aktif pada 30 Jun tahun ini. — Bernama