SFDP komited lahir pelapis bola sepak

0

MIRI: Pusat Pembangunan Bola Sepak Sarawak (SFDP) komited melahirkan pemain bola sepak berprofil tinggi di kalangan pelajar sekolah rendah untuk dijadikan pelapis masa depan.

Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Sarawak Francis Nyurang Ding berkata, pihaknya sentiasa mencari iniasiatif untuk melahirkan bintang baharu bukan sahaja dalam bola sepak, tetapi juga sukan-sukan lain.

“Kita telah melahirkan Pandelela Rinong dalam sukan renang (terjun) dan tidak mustahil kita juga akan melahirkan bintang-bintang baharu dalam sukan lain seperti bola sepak dan sebagainya,” katanya pada Majlis Penangguhan Kejohanan Bola Sepak SFDP Bawah 12 Tahun Edisi Ke-2 Zon Utara semalam.

Francis berkata, komitmen untuk melahirkan bintang baharu dalam setiap jenis sukan berprestasi tinggi adalah sasaran MSN dengan harapan untuk membekalkan atlet-atlet baharu untuk skuad negeri atau negara.

Menurutnya, kejohanan SFDP adalah salah satu program jangka panjang kelolaan SFDP yang memberi peluang kepada seluruh pusat latihan SFDP untuk menguji kemampuan pasukan masingmasing.

“Saya berpendapat melalui pendedahan seperti ini para pegawai dan atlet kita akan lebih bersedia untuk melangkah lebih jauh sama ada untuk mewakili sekolah, negeri atau kebangsaan,” jelasnya.

Tambah beliau, penganjuran kejohanan itu juga amat penting sebagai satu gelanggang pendedahan kepada atlet terutama atlet-atlet yang akan mewakili sekolah masing-masing.

“MSN berharap menerusi pertandingan ini kita dapat melahirkan pemain-pemain bola sepak untuk negeri dan kebangsaan pada masa akan datang selaras dengan penubuhan SFDP,” jelasnya.

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau muncul juara keseluruhan selepas menang tipis 1-0 ke atas SK Achi pada perlawanan akhir di padang SK Merbau semalam.

Tempat ketiga pula milik pasukan SK Jepak selepas mengalahkan SK Bario dengan jaringan 1-0 pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Hadir sama Pemangku Pengarah MSN Miri Harifen Mansur, Pengetua SK Merbau Wan Kassim Tunku Taibu serta pegawai-pegawai MSN lain.