Penyerang Australia misi S’wak

0

CUBA NASIB: Manuel (kanan) bsedang menjalani ujian di Stadium Negeri semalam.

KUCHING: Sarawak bakal mengikat penyerang ke­bangsaan Australia yang sedang beraksi dalam liga di China dalam usaha meman­tapkan bahagian serangan bagi menghadapi saingan Liga Super 2014.

Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata perbincangan awal antara Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan penyerang yang belum diketahui identitinya itu berjalan dengan positif dan beliau dijangka tiba di sini pada penghujung bulan ini.

“Kita telah mengadakan perbincangan awal dan pe­main berkenaan telah men­yatakan persetujuan untuk menyertai Sarawak.

“Bagaimanapun, beliau hanya akan menyertai kita pada penghujung bulan ini sebaik kempen liga di China berakhir,” katanya semasa ditemui di Stadium Negeri, di sini semalam.

Menurut Alberts, barisan pemain utama yang dikenal pasti akan dibawa menyer­tai siri jelajah skuad ke Batu Malang, Surabaya, Indonesia yang dijadual bermula pada 7 hingga 20 Disember depan.

Di sana, Sarawak akan diuji menerusi beberapa per­lawanan persahabatan den­gan kelab-kelab tempatan di Indonesia.

“Setakat ini, saya masih me­nilai prestasi semua pemain un­tuk diserap dalam skuad utama bagi mengharungi musim de­pan. Namun, apa yang pasti senarai pemain yang terpilih akan diumumkan pada Isnin depan,” katanya.

Dalam pada itu, lapan pe­main baharu masih berusaha untuk menambat hati Alberts pada hari kedua sesi ujian di Stadium Negeri semalam.

Pemain yang men­curi tumpuan ialah bekas pertahanan kelab Bayern Laverkusen dari Liga Jerman, Manuel Friedrich, 34.

Turut menjalani ujian ialah dua pemain Liga Super 2013, Reeshafiq Alwi, 31, (Selangor PKNS/Tengah), Mohd Lot Abu Hassan, 29, (Selangor PKNS/Penyerang) serta pe­main dari Liga Perdana 2013 iaitu Mohd Rashid Aya, 22, (Johor/ Penyerang) dan Mohd Fad­zley Abdul Rahim, 26, (Pos Malaysia/Penjaga Gol).

Selain itu, tiga pemain tempatan turut mencuba na­sib ialah Florian Rison Laes (Piala Presiden 2012/Penjaga Gol), Morris Jagan (Marr SC Akjaemura/Pertahanan) dan penjaring terbanyak Piala Juara-Juara Sarawak 2013 dari kelab SEG FC, Paul Sambang.

Seorang lagi pemain yang sepatutnya turut serta pada sesi ujian, S Chanturu dari Perak tidak dapat bersama kerana melakukan persediaan untuk men­yambut Deepavali.

“ Setakat ini, saya san­gat berpuas hati dengan semua pemain yang se­dang menjalani ujian. Mereka telah menunjukkan komitmen serta kesung­guhan tinggi untuk mem­bantu kita pada musim de­pan,” jelas Alberts sambil menambah para pemain akan menamatkan sesi ujian hari ini.