Duta harap hubungan akrab M’sia-Korea Selatan dipertingkat

0

SEOUL: Duta Malaysia ke Korea Selatan yang baru dilantik, Datuk Rohana Ramli, berharap dapat membawa hubungan antara kedua-dua negara ke peringkat lebih tinggi dengan mewujudkan persekitaran bagi kerjasama dan kesepakatan demi manfaat kedua-dua negara.

Dalam temu bual dengan Bernama di sini baru-baru ini, beliau menyifatkan hubungan dua hala sedia ada sebagai amat baik, dan menegaskan hubungan terjalin sejak lebih 50 tahun selepas pejabat perwakilan Malaysia diwujudkan pada 1960.

Rohana berkata skop untuk bekerjasama amat besar dan berharap dengan sokongan semua pihak, segala isu dan masalah boleh diselesaikan untuk mengekalkan hubungan sedia ada yang akrab serta bermakna sebagai sahabat, rakan dan sekutu.

“Kita mempunyai hubungan politik yang cemerlang, tiada gendala, dan hubungan perdagangan dan pelaburan yang sangat teguh. Hubungan rakyat dengan rakyat juga membentuk asas yang penting untuk meningkatkan hubungan, menyumbang kepada hubungan yang lengkap antara Malaysia dan Korea Selatan,” katanya.

Rohana, yang menyertai perkhidmatan awam sejak 1984, sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (Perkhidmatan Pengurusan) Kementerian Luar. Beliau menjadi duta ke Argentina (2005-2008) dan bertugas dengan pejabat perwakilan Malaysia di beberapa negara lain termasuk di pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva.

Rohana berkata kejayaan yang dilakar Korea Selatan terus menjadi inspirasi kepada Malaysia dan negara membangun lain dalam usaha mempertingkatkan pencapaian ekonomi bagi manfaat rakyat masing-masing.

Beliau berkata sungguhpun Dasar Pandang ke Timur terus memperkukuhkan lagi hubungan akrab Malaysia-Korea Selatan, namun tumpuan semula atau hala tuju baharu kini dalam perancangan untuk melonjak transformasi Malaysia ke arah muncul sebagai negara perindustrian mampu diri.

Sambil menarik perhatian bahawa ‘Gelombang Kedua’ Dasar Pandang ke Timur akan memperluaskan hubungan dua hala, beliau berkata kerjasama dan kesepakatan akan diteruskan dalam bidang penting seperti teknologi tinggi, penyelidikan dan pembangunan dalam bidang seperti teknologi hijau dan boleh diperbaharui, bioteknologi serta teknologi komunikasi dan maklumat.

“Di bawah kepimpinan Presiden Park Guen-hye, Korea turut menggalakkan ekonomi kreatif, yang pada dasarnya serupa dengan keutamaan perdana menteri kita. Oleh itu, saya percaya, Malaysia dan Korea boleh selanjutnya meneroka serta meneruskan cara untuk mempertingkatkan kerjasama dalam bidang baharu ini, memperkukuh dan memperluas perkongsian ekonomi kukuh yang sedia ada,” katanya.

Mengenai perancangan sebagai duta baharu, beliau berkata terdapat keperluan untuk meneliti bidang yang Malaysia dilihat seperti tidak berupaya maju selain mencari kerjasama baharu yang boleh diwujudkan.

Ini mungkin menjadi cabaran memandangkan kedua-dua negara sehingga kini memeterai 16 perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) dalam pelbagai bidang, kata Rohana.

“Penekanan adalah untuk tidak melaksanakan program atau aktiviti dalam cara yang terpisah disebabkan mungkin akan berlaku pengulangan dan pertindihan tugas, yang akhirnya mengakibatkan kerugian dana dan ini perlu dielakkan,” katanya.

Ditanya sama ada Kewangan Islam boleh dipromosi di Korea Selatan, beliau berkata pejabat perwakilan di Seoul akan bekerjasama dengan beberapa institusi kewangan di sini dan membawa beberapa institusi kewangan terkenal Malaysia ke Korea Selatan untuk memperkenalkan serta mempromosikan selanjutnya Kewangan Islam.

Duta Korea Selatan ke Malaysia, Cho Byungjae, dalam satu wawancara dengan Bernama baru-baru ini berkata terdapat peningkatan minat dalam Kewangan Islam di Korea Selatan dengan beberapa bank serta agensi Korea Selatan menghantar pegawai mereka ke Malaysia untuk mempelajari tentang Kewangan Islam. — Bernama