ESSCOM anjur bengkel khas pelan pembangunan infrastruktur

0

LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan menganjurkan bengkel khas bagi membincangkan perancangan pembangunan infrastruktur dan aset serta kolabrasi di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) di 1Borneo, Kota Kinabalu bermula 7 Nov ini.

Ketua Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek berkata bengkel tiga hari yang julung kali diadakan itu akan disertai kira-kira 55 pegawai daripada pelbagai agensi termasuk keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan.

“Kami harap bengkel ini dapat mengumpulkan input yang mantap supaya semua perancangan pembangunan dan aset dapat diselaraskan mengikut keperluan dan keutamaan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mohammad berkata selain memantapkan perancangan pembangunan infra dan aset di ESSZONE, bengkel itu bermatlamat untuk melihat ruang kerjasama antara agensi keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan di kawasan ESSZONE, mengoptimumkan penggunaan fasilitas dan aset melalui kolabrasi pintar antara agensi.

Beliau berkata bengkel itu turut memberi fokus kepada cadangan perkongsian maklumat terutama dalam memantapkan lagi pengawasan dan pemantauan di kawasan ESSZONE.

Beliau berharap kolabrasi dapat diwujudkan dalam semua bentuk pelaksanaan di ESSZONE agar peruntukan kerajaan dapat dibelanjakan secara optimum dan berkesan, sekali gus memastikan kawalan keselamatan dan pertahanan dapat dicapai.

ESSCOM yang merupakan agensi penguatkuasaan keselamatan di kawasan ESSZONE ditubuhkan pada 1 April dan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Lahad Datu pada 13 April lepas.

ESSZONE yang merangkumi 10 daerah pesisir pantai sepanjang 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau, antara lain bertujuan memantapkan lagi semua operasi yang dilaksanakan pelbagai entiti pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen. — Bernama