Kawasan Demak Laut bakal miliki 20 Kedai Runcit 1Malaysia

0

MURAH DAN PELBAGAI: Dr Hazland memeriksa barangan yang dijual di sebuah kedai di bawah program TUKAR di Kampung Tabuan Tengah semalam.

KUCHING: Kawasan Demak Laut bakal memiliki 20 Kedai Runcit 1Malaysia (TUKAR) berkonsepkan pasar raya mini moden dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, beliau berbangga kerana program TUKAR mampu membantu meringankan beban penduduk sekitarnya terutama pada masa sekarang ketika kebanyakan harga barangan kian meningkat.

“Barang-barang yang dijual oleh TUKAR adalah lebih murah sehingga 40 peratus daripada harga yang dijual di kedai atau pasar raya lain,” ujar Dr Hazland ketika ditemui semasa mengadakan lawatan kerja program TUKAR di Kampung Tabuan Tengah semalam.

Turut hadir Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Osman Ismail dan Pengerusi Koperasi Automobil Kuching Sarawak Berhad (KO-KAS) Ariffin Han.

Menurut Dr Hazland, para peserta program TUKAR kebanyakannya mencatatkan keuntungan sehingga 17 peratus sejak penyertaan mereka disebabkan kepelbagaian barangan yang ditawarkan.

“Kebanyakan peserta TUKAR mencatat keuntungan sehingga 17 peratus kerana mereka menawarkan pelbagai barangan runcit yang dijual pada harga yang kompetitif berbanding kedai-kedai dan pasar raya di luar sana.

“Setiap peserta akan diberi pinjaman sehingga RM80,000 bagi membantu mereka menaik taraf kedai runcit menjadi lebih moden atau hampir serupa dengan pasar raya mini,” jelas Dr Hazland.

Beliau turut bercadang menganjurkan sesi latihan kepada bakal peserta TUKAR supaya mereka lebih mengetahui mengenai perniagaan runcit termasuk peraturan, terutama berkaitan penjualan barangan kawalan seperti tong gas.

“Program TUKAR diadakan bagi memastikan kaum Bumiputera tidak ketinggalan dalam kegiatan ekonomi di samping memberi faedah kepada  pengusaha dan pembeli.

“Melalui program TUKAR, sekurang-kurangnya sebuah kampung akan memiliki sebuah kedai yang hampir serupa dengan pasar raya mini yang mempunyai bekalan stok yang mencukupi dan dijual pada harga yang rendah,” tambahnya.

Dr Hazland turut menggalakkan para peserta TUKAR berfikiran kreatif seperti mengadakan program penebusan mata bagi pembeli-pembeli mereka dalam usaha menjadikan mereka sebagai pelanggan tetap.

Di samping itu, beliau turut menggalakkan para belia Bumiputera supaya berwawasan dengan membuka bengkel sendiri jika berkemahiran melalui bantuan pihak SKM, KO-KAS dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Saya menggalakkan para belia yang berkemahiran supaya membuka bengkel sendiri melalui bantuan agensi berkenaan di samping bercadang juga untuk mengadakan kedai 1Malaysia yang khusus menjual produk-produk perikanan tidak lama lagi,” ujar Dr Hazland.