Kawasan pelancongan di Pahang perlu akses Internet lebih luas

0

TEMERLOH: Kemudahan mengakses Internet dan wi-fi perlu dipertingkatkan di kawasan pelancongan di negeri ini bagi menarik lebih ramai pelancong tempatan dan asing berkunjung ke Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin berkata akses Internet kini merupakan satu daripada keperluan penting selain memudahkan pelancong berkongsi pengalaman dan maklumat tempat yang dilawati secara dalam talian.

“Kini aktiviti memuat turun gambar, video dan info ke dalam laman web sosial seperti Instagram, Facebook atau Twitter menjadi trend semasa dan jika kemudahan itu tidak dapat ditingkatkan, kita bimbang pelancong akan kecewa dan ini boleh menjejaskan Program Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 tahun depan,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Sehubungan itu, Mohd Sharkar memohon Kementerian Komunikasi dan Multimedia bertindak segera dan menyediakan kemudahan tersebut secukupnya menjelang tahun depan.

“Kita mahu kementerian menyediakan kemudahan tersebut di kawasan tumpuan atau ‘hotspot’ yang menjadi tarikan pelancong seperti di Taman Negara, Jerantut,  Pulau Chekas, Lata Jarum dan Lata Lembik di Raub serta lain-lain kawasan pelancongan di negeri ini.

“Ini kerana antara rungutan para pelancong yang pernah melawat negara ini ialah kegagalan capaian Internet di kawasan yang menjadi tumpuan pelancong terutamanya di luar bandar,” katanya.

Katanya, kerajaan telah membelanjakan sejumlah besar peruntukan bagi menjayakan TMM 2014 dan ia bukan hanya tanggungjawab Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, malah memerlukan kerjasama semua pihak untuk menjayakannya. — Bernama