Thursday, December 7

Kempen pentingnya pelihara dan pulihara hidupan terlindung sepenuhnya diperhebat

0

KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) kini memperhebatkan kempen kesedaran mengenai pentingnya memelihara dan memulihara hidupan terlindung sepenuhnya terutama burung kenyalang.

Pemangku Pengarah Hutan Sarawak Sapuan Ahmad berkata pelaksanaan kempen itu harus dilakukan secara menyeluruh dengan tidak hanya melibatkan kumpulan sasaran yakni golongan pelajar tetapi masyarakat secara keseluruhannya.

“Sekarang kami melancarkan kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat supaya menghargai serta menyayangi hidupan liar terlindung sepenuhnya lebih-lebih lagi burung kenyalang agar spesies ini tidak dibunuh sesuka hati,” katanya ketika ditemui pada satu majlis di sini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai insiden seekor burung kenyalang dikenali Faridah diburu dari Kem Piasau September lalu dan ditemui bangkainya di dalam tong sampah di Estet Perindustrian Piasau, kira-kira lima kilometer dari kem berkenaan.

“Kempen berterusan ini yang melibatkan pelajar menengah rendah dengan melibatkan kerjasama Persatuan Alam Semula Jadi Malaysia (MNS), mendidik masyarakat agar perkara ini tidak berulang,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Jabatan Hutan meminta kerjasama orang ramai agar memaklumkan pihaknya jika ada pihak cuba menangkap, membunuh atau memelihara spesies terlindung sepenuhnya, agar hukuman setimpal dapat diambil terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab itu.

Beliau berkata ketika ini pihaknya berdepan kesukaran untuk menangkap suspek yang membunuh spesies terlindung di negeri ini dan keadaan sama dialami dalam kes Faridah.

“Kita hanya menemui bangkai Faridah yang dibuang ke dalam tong sampah tanpa bukti kukuh.

“Mereka yang didapati melakukan kesalahan ini akan dihadapkan ke mahkamah dan tindakan undang-undang akan diambil jika sabit kesalahan.

“Saya juga mahu mengingatkan di sini, terutamanya kepada kanak-kanak yang gemar melastik burung kenyalang kerana ia sememangnya cantik,” katanya.